Berjimat Dari Umur 19 Tahun, Wanita Berjaya Beli Tiga Rumah

LocalBusiness & Finance
30 Aug 2024 • 8:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Berjimat Dari Umur 19 Tahun, Wanita Berjaya Beli Tiga Rumah

JEPUN – Tular kembali kisah seorang wanita berjaya memiliki tiga buah rumah di Jepun dengan berjimat-cermat selama hampir 15 tahun, lapor South China Morning Post.

Saki Tamogami, yang kini berusia 39 tahun, pernah muncul dalam rancangan televisyen Jepun, Happy! Bomby Girl dan berkongsi perjalanan hidupnya mengumpul wang untuk merealisasikan impiannya itu.

Ketika pertama kali muncul dalam rancangan itu, Tamogami berkongsi cara berjimat untuk memiliki rumah pertamanya. Semenjak berusia 19 tahun, wanita itu sudah mula berjimat dalam berbelanja dengan meletakkan impian memiliki tiga buah rumah dan pencen seawal mungkin.

Setelah tamat pengajian, dia diterima bekerja di sebuah syarikat hartanah. Tamogami akui dia hanya menggunakan sebanyak 200 yen untuk belanja makan, bersamaan RM5.94 sehari.

Untuk menghidangkan makanan, wanita itu tidak membeli sebarang pinggan atau mangkuk. Cukup dengan makan menggunakan periuk yang sama digunakan untuk memasak.

image is not available
Kredit: iLearnFromCloud via Youtube

Perkara ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah menjimatkan penggunaan air. Jadi dia tidak perlu membayar bil air yang lebih. Masakannya juga amat ringkas iaitu sama ada nasi dengan potongan ikan salmon atau udon dengan kuah kosong, atau sedikit lobak putih (daikon) yang dibeli dengan harga diskaun.

Dalam rancangan tersebut, wanita itu turut mendedahkan yang dia berjaya membeli rumah pertamanya yang mempunyai tiga bilik tidur dengan harga 10 juta yen selepas sembilan tahun menjalani kehidupan begitu.

Dengan menyewakan dua buah bilik lagi kepada orang lain, wanita berkenaan dapat menambah pendapatannya beberapa puluh ribu yen sebulan. Biarpun mendapat pendapatan yang agak banyak, wanita berkenaan tidak membelanjakan wangnya untuk membeli perabot. Kesemua perabot di dalam rumah itu merupakan barangan terpakai yang dibuang di tepi jalan.

Menerusi rancangan yang sama, wanita berkenaan mengejutkan pengacara dengan mendedahkan dia bakal membeli rumah keduanya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Empat tahun kemudian, rancangan televisyen tersebut kembali menemu bual Tamogami, dan ternyata, dia telah berjaya membeli rumah keduanya yang bernilai 18 juta yen. Harga ini bersamaan RM535,744.80 mengikut tukaran hari ini.

Dengan menyewakan kesemua bilik rumah kedua, jumlah pendapatan bulanannya mencecah kira-kira 400 ribu yen. Keuntungan besar ini memberinya peluang yang lebih cerah untuk membeli rumah ketiganya yang berharga 37 juta Yen pada 2019. Ketika itu, usia wanita berkenaan baru mencecah 34 tahun.

Biarpun mempunyai pendapatan yang lumayan dengan urusan sewaan ketiga-tiga rumahnya, wanita tersebut masih mengekalkan cara hidup yang berjimat-cermat. Ini kerana masih ada satu lagi impiannya yang belum tercapai, memiliki tempat perlindungan kucing jalanan.

Berjaya miliki tiga buah rumah, kini impian terakhir wanita itu tercapai

Pada bulan Mei 2019, dia berjaya membuka kafe kucing yang diberi nama Cafe Yuunagi di tingkat bawah rumah ketiganya. Berlainan dengan perabut miliknya yang diambil dari barangan terpakai, Tamogami menghiaskan kafe kucingnya dengan perabot-perabot baru.

Pilihan cara hidup wanita ini bukan sahaja mendapat perhatian rakyat Jepun, malah satu dunia turut mengaguminya apabila kisahnya ini tersebar di internet.