‘Berjiwa besar, sangat dihormati’ pemimpin PAS puji Muhyiddin

LocalPolitics
30 Dec 2025 • 10:29 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pemimpin-pemimpin PAS menyambut naik perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN), di tengah-tengah ketegangan antara Bersatu dengan PAS.

Antaranya ialah Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyifatkan jasa Muhyiddin kepada PN dan negara terutama ketika Malaysia berdepan dengan Covid-19 termasuk usaha pemulihan pasca pandemik berkenaan, akan sentiasa dikenang dan dihormati.

“Terima kasih Tan Sri. Kami anggap ini satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati.

“Segala jasa dan khidmat bakti Tan Sri selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelasnya, segala pandangan yang pernah beliau nyatakan kepada Muhyiddin sebelum ini tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjung kepada Presiden Bersatu itu apatah lagi Muhyiddin adalah lebih berusia dan berpengalaman daripadanya.

“Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan Tan Sri rasa tidak senang atau tersinggung. Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal,’’ katanya.

image is not available
Datuk Iskandar Abdul Samad. - Gambar Facebook, 30 Disember, 2025

Dalam pada itu, Bendahari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menerusi hantaran ringkas di Facebooknya berkata, sekiranya Pengerusi PN meletak jawatan maka Setiausaha Agung juga perlu berbuat demikian.

Untuk rekod, Setiausaha Agung PN ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik ke jawatan berkenaan pada Disember 2024.

“Jika Pengerusi turun, Setiausaha Agung juga kena turun, sebab Setiausaha Agung dipilih oleh pengerusi,’’ katanya.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Dalam kenyataannya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberi sokongan kepadanya, sepanjang beliau memimpin gabungan itu yang ditubuhkan sejak lima tahun lepas.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya.

image is not available
Dr Azman Ibrahim - Gambar Facebook, 2025

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabil, Dr Azman Ibrahim pula berkata, perubahan kepimpinan itu membuka ruang kepada PAS untuk menerajui PN sebagai pengerusi yang baru.

“Satu tindakan yang bijak dan tepat oleh Tan Sri dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang PRU16,’’ katanya.

Perubahan ini, kata Azman membuka ruang untuk PAS menerajui Perikatan Nasional sebagai Pengerusi yang baru.

“Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Satu keputusan yang dibuat dengan jiwa besar seorang pemimpin. Terima kasih atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan,’’ katanya. - 30 Disember, 2025

The post ‘Berjiwa besar, sangat dihormati’ pemimpin PAS puji Muhyiddin appeared first on Scoop.