Berjoget Depan Gerai Air Balang, ‘Lelaki Duyung’ Dikesan JAHEAIK

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 10:14 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang lelaki yang mengenakan kostum menyerupai ikan duyung dirakam menari di hadapan sebuah gerai air balang, dipercayai berlaku di Pengkalan Chepa, pada Ahad.

Menurut laporan Sinar Harian, rakaman video berdurasi 26 saat itu kemudiannya tular di media sosial.

Dalam video tersebut, lelaki berkostum berwarna terang itu dilihat berjoget, dipercayai sebagai usaha menarik perhatian orang ramai dan meningkatkan jualan minuman di gerai berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

image is not available

Ada yang menyifatkannya sebagai keterlaluan serta tidak sensitif memandangkan suasana Ramadan, selain dianggap kurang menghormati norma masyarakat setempat.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) memaklumkan pihaknya memandang serius insiden terbabit dan kini sedang mengesan individu tersebut untuk membantu siasatan lanjut.

“Pihak kami sedang mengenal pasti individu berkenaan serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.
“Sebarang pelanggaran undang-undang syariah atau perbuatan tidak senonoh di tempat awam akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

image is not available

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi ketika Ramadan yang menuntut umat Islam menjaga adab, tingkah laku serta sensitiviti sekeliling.

Dalam perkembangan sama, warganet turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mempertimbangkan penarikan lesen perniagaan gerai terbabit selain mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

Sumber: Sinar Harian (Adial Sharinni Wahid)

The post Berjoget Depan Gerai Air Balang, ‘Lelaki Duyung’ Dikesan JAHEAIK appeared first on Borak Daily.