Berkat Buat Baik, ‘Aunty Guard Viral’ Dapat Pingat Pangkuan Negara Dari YDPA

19 Dec 2023 • 5:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada 6 Disember yang lalu, kami ada melaporkan berita mengenai seorang pengawal keselamatan wanita yang tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 19 Disember ini.

Dia yang dikenali sebagai R Yogeswary atau dengan gelaran ‘Aunty Guard Viral’ mula menjadi bualan di media sosial apabila tular sikapnya yang suka menyantuni pesakit dan pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.

Keprihatinan dan keperibadiannya itu turut menarik perhatian bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sehingga kisahnya turut dikongsikan di akaun Facebook beliau.

Terima Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) Dari YDPA

Hari ini (19 Disember), secara rasminya Yogeswary menerima anugerah tersebut daripada YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda di Istana Negara.

Dia dianugerahkan dengan Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) ekoran sikap terpujinya yang sentiasa menyantuni pesakit dan pelawat hospital tersebut.

Malah, menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya, dia turut menerima saguhati daripada baginda.

Menjunjung kasih tuanku…….saguhati dari agong….daulat tuanku💥🇲🇾🙏🙏

Posted by Yoges Wary on Sunday, 17 December 2023

Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Semua

Menerusi hantaran terbaharu yang dikongsikan di Facebook miliknya, Yogeswary menzahirkan ucapan terima kasih buat warganet terutama kepada mereka yang memberikan komen-komen positif.

Baginya, pingat tersebut merupakan anugerah yang datang daripada semua pihak.

“Terima kasih semua. Ini semua dari anda dengan komen-komen anda terhadap aunty. Pingat ini datang dari anda semua.

“Terima kasih ye, lagi sekali aunty ucapkan pada anda semua, rasa nak menangis, aunty gembira, tak sangka dalam hidup aunty ni (terima pingat), aunty akan sentiasa buat terbaik untuk anda semua,” tulisnya menerusi sebuah hantaran.

Hantaran tersebut nyata mendapat perhatian daripada warganet. Rata-rata mengucapkan tahniah kepada wanita berkenaan.

Malah, kebanyakannya merasakan wanita itu layak dianugerahkan pingat berkenaan atas keprihatinan dan keperibadiannya yang sentiasa berbuat baik kepada orang lain.

Untuk info, Yogeswary sebelum ini ditugaskan di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB dan kini bertugas di Kompleks Rawatan Harian di hospital yang sama.

Tq u all semua……ini semua dari anda dgn komen komen anda terhadap aunty ini…pingat ini datang dari anda…

Posted by Yoges Wary on Monday, 18 December 2023

Baca Artikel Berkaitan:

Source: