
PETALING JAYA: Pelawak, Tauke Jambu, mendedahkan bayaran yang diterima bagi lakonannya dalam filem vertikal di platform media sosial adalah agak rendah.
Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 50, berkata, dia mengambil tawaran projek digital berkenaan berikutan tiada sebarang tawaran daripada stesen televisyen untuknya ketika ini.
Katanya, kadar bayaran bagi tawaran filem vertikal dalam talian itu mempunyai perbezaan agak ketara disebabkan skala pembikinan serta platform tayangannya yang berbeza.
“Proses penggambaran sudah selesai. Tawaran untuk pembikinan filem vertikal di platform dalam talian ini memang ada bezanya dari segi bayaran.
“Berlakon untuk platform ini agak rendah bayarannya. Keadaannya lebih kurang sama seperti televisyen, tapi memang ada sedikit pengurangan dari segi bayaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walau bagaimanapun, Tauke enggan mendedahkan bayaran sebenar daripada lakonannya itu.
“Saya tidak boleh bagitahu jumlah bayaran sebenar kerana ia adalah P&C (Private and Confidential),” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Tauke tidak menafikan tawaran daripada stesen televisyen semakin berkurangan berikutan kontroversi kes dadah yang pernah terpalit dengannya sebelum ini.
Terdahulu, Tauke dan empat orang rakannya didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram, di 15-01 Menara Up, Jalan Puchong, pada 2.40 pagi, 10 April 2022.
The post Berlakon untuk platform media sosial agak rendah bayarannya – Tauke Jambu appeared first on Utusan Malaysia.

