Bermaz Auto dijangka dapat kekalkan momentum kukuh jualan kenderaan disokong tempahan 5,000 unit – UOBKH Research
diyana
10/08/2023 - 12:33
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Momentum jualan Bermaz Auto Berhad dijangka tetap kukuh, disokong oleh buku pesanan yang stabil dengan 5,000 unit setakat ini bagi 2023 dan tempahan bulanan sebanyak 1,800 hingga 1,900 unit, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan itu menaik taraf saham syarikat pengedar dan peruncit kenderaan Mazda, Kia dan Peugeot tersebut kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’.
Menurut firma tersebut, paras harga saham Bermaz Auto terkini menawarkan titik masuk menarik, disokong oleh buku pesanan yang kukuh dan pembayaran dividen mewah, menandakan hasil dividen 7.1%.
UOBKH Research berkata tempahan bulanan untuk kenderaan kumpulan tersebut kekal sihat, antara 1,800 dan 1,900 unit, berbanding 1,400 hingga 1,500 unit pada 2022, dan mempunyai kadar pembatalan yang rendah pada 5%.
“Jualan Mazda meningkat 4.5% suku ke suku (QoQ) pada suku kedua 2023 (2Q23), kerana permintaan untuk kenderaan kekal stabil walaupun harga meningkat pada April 2023.
“Berdasarkan semakan, pesanan tunggakan Bermaz Auto kekal stabil, mencakupi 5,000 unit setakat ini.
“Sumbangan utama masih datang daripada Mazda sebanyak 4,500 unit, manakala baki 500 unit adalah daripada jenama lain, termasuk Kia dan Peugeot,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma itu, kenaikan harga kenderaan Mazda adalah antara RM200 hingga RM10,200, berbeza-beza mengikut model.
Sebagai contoh, model terkenal seperti CX-30 yang di bawah projek pemasangan tempatan (CKD) mengalami peningkatan sebanyak RM3,500, manakala CX-5 meningkat RM200.
Bagi bahagian pasaran, firma itu berkata kenderaan Mazda membentuk 3% daripada jumlah keseluruhan jumlah industri atau 6% selepas dikecualikan jenama nasional, pada separuh pertama 2023.
“Untuk meletakkannya dalam perspektif yang munasabah, beberapa model CKD Mazda, seperti CX5, CX30 dan CX3, terus menarik minat dan permintaan dalam kenderaan utiliti sukan empat demi empat (segmen E), mencatatkan jualan 40% bagi 2023 setakat ini dalam segmen itu, serta 60% daripada jualan Bermaz Auto,” katanya.
Tambahnya, trend ini boleh disokong oleh usaha berterusan untuk memasang model baharu secara tempatan bagi memenuhi permintaan. - DagangNews.com




