liza16/11/2026 - 17:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Bermaz Auto Berhad menghentikan operasi pengedaran kenderaan elektrik (EV) jenama XPeng di Malaysia menerusi anak syarikatnya, Bermaz Xpeng Sdn Bhd (BXpeng) berkuat kuasa 16 November 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keputusan itu dibuat susulan rancangan XPeng Inc dari China, selaku pemilik jenama dan pengeluar utama kenderaan XPeng untuk menyusun semula rangkaian pengedarannya di Malaysia.
“BXpeng yang dimiliki sebanyak 85% oleh Bermaz Auto sebelum ini memeterai beberapa perjanjian dengan anak syarikat XPeng Inc berkaitan pengedaran kenderaan, penyediaan perkhidmatan selepas jualan serta penjualan alat ganti di Malaysia.
Perjanjian pengedaran dijadual tamat Mac 2027
“Perjanjian berkenaan merangkumi Perjanjian Pengedaran (Distributor Agreement) dan Perjanjian Tuntutan Waranti (Warranty Claim Agreement) yang dijadualkan tamat pada Mac 2027.
“Bagaimanapun, susulan rancangan penyusunan semula rangkaian pengedaran XPeng itu, BXpeng telah menghentikan operasi jenama itu lebih awal, berkuat kuasa 16 November 2026,” katanya.
Bermaz Auto memaklumkan pihak terlibat kini dalam proses memuktamadkan terma penamatan kedua-dua perjanjian berkenaan serta perjanjian sampingan lain.
Kumpulan itu akan membuat pengumuman lanjut selepas perjanjian pemisahan (separation agreement) dimeterai oleh pihak berkaitan.
Tiada kesan kewangan material dijangka
Dalam tempoh peralihan itu, BXpeng akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Bermaz Auto turut menjelaskan bahawa pemberhentian BXpeng sebagai pengedar kenderaan XPeng di Malaysia tidak dijangka memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan bagi tahun kewangan semasa. - DagangNews.com

