Bermula Julai, Tabung Haji hanya benar pindahan wang ke akaun bank pencarum sahaja

LocalBusiness & Finance
20 Jun 2023 • 5:55 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usaha untuk memperkukuh keselamatan perkhidmatan digitalnya dengan menambah baik kawalan teknologi demi keselesaan dan keselamatan urusan kewangan pendeposit.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bermula 1 Julai, TH membenarkan pemindahan wang daripada akaun simpanan TH ke akaun bank sendiri sahaja.

“Pendeposit juga hanya boleh mengaktifkan kad ATM dengan akaun TH menerusi mesin ATM dan bukan melalui perkhidmatan perbankan dalam talian bank-bank rakan strategik TH,” menurut kenyataan itu.

Langkah itu merupakan satu daripada usaha TH dalam memastikan para pendeposit tidak terjerat dalam perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau scammer kerana TH memandang serius terhadap penipuan yang berlaku melibatkan pendeposit melalui perbankan Internet bank-bank rakan strategik TH.

image is not available
Mohamad Ameen Abdul Wahab, Pengarah Eksekutif Operasi TH . Kredit BERNAMA

“TH sentiasa cakna dan prihatin akan keselamatan urusan para pendeposit. Justeru, TH akan terus berusaha untuk memperkasakan lagi perkhidmatan digital TH demi keselesaan para pendeposit”, kata Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab dalam kenyataan berkenaan.

TH juga sentiasa melakukan kemas kini dan memperketat kawalan keselamatan teknologi sedia ada secara berterusan bagi memastikan semua transaksi yang dilakukan oleh pendeposit adalah selamat.

Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan.

image is not available