
Mulai 2 September, penumpang boleh tuntut bayaran balik penuh untuk penerbangan lewat 5 jam ke atas
Bermula September, Syarikat Penerbangan Wajib Beri Bayaran Balik Penuh Jika Lewat Lebih 5 Jam. Mulai 2 September ini, syarikat penerbangan perlu memberi bayaran balik penuh kepada penumpang yang mengalami kelewatan penerbangan 5 jam atau lebih, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ini hasil pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). Peraturan ini terpakai bagi penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan tertangguh dan membeli tiket lain.

Sebelum ini, syarikat penerbangan hanya perlu menyediakan makanan dan sebagainya. Bayaran balik mesti dibuat melalui kaedah pembayaran asal penumpang.
Untuk penerbangan terganggu akibat keadaan luar biasa seperti perubahan cuaca, syarikat penerbangan boleh menawarkan bayaran balik dalam bentuk baucar perjalanan atau kredit, tetapi pengguna berhak memilih kaedah bayaran balik.
Perubahan jadual penerbangan perlu dimaklumkan dua minggu awal bermula tahun depan
Bermula Januari tahun depan, perubahan jadual penerbangan mesti dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu awal, kecuali dalam kes luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan dari semua platform tempahan untuk melindungi pengguna.
Kes penumpang tidak dapat menaiki pesawat kerana terlebih tempahan mesti dimaklumkan di kaunter daftar masuk atau pintu berlepas. Ini untuk mengelakkan penumpang diminta turun selepas menaiki pesawat.
Menurut sumber, tempoh membuat aduan dilanjutkan dari setahun kepada dua tahun. Loke menegaskan bahawa MACPC yang diperbaharui akan meningkatkan perlindungan pengguna semasa penerbangan, dan Mavcom akan memantau pematuhan syarikat penerbangan terhadap piawaian industri.



