BERNAS turunkan harga jualan beras putih import kepada RM3,000 per tan metrik
zulfadli
21/03/2024 - 09:26
KUALA LUMPUR 21 Mac - Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaksanakan pelarasan harga jualan beras putih import (BPI) di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik.
BERNAS memaklumkan, ia bagi memastikan berlakunya penurunan harga jualan BPI di antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10 kilogram di peringkat runcit.
Katanya, ia membuktikan komitmen pihaknya dalam menjamin ketersediaan produk walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.
"BERNAS menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan harga beras putih dan memuji langkah proaktif Kerajaan Madani dalam menangani kos sara hidup rakyat Malaysia.
"BERNAS bergerak seiring dengan pengumuman kerajaan dan kekal berdedikasi dalam memastikan bekalan beras yang mencukupi dan stabil untuk isi rumah di seluruh negara serta turut memuji langkah intervensi kerajaan dalam meningkatkan pengedaran beras putih tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu media melaporkan, KPKM mengumumkan harga jualan runcit BPI turun di antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa 20 Mac 2024.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Menurut kenyataan itu, BERNAS mengulangi pendiriannya untuk terus menyokong dan mendokong agenda keterjaminan makanan serta bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri.
"Syarikat mengulangi komitmennya terhadap pelan jangka panjang KPKM, mengutamakan kebajikan pesawah dan mengekalkan kelestarian rantaian bekalan beras di dalam negara," katanya.
Katanya, pihaknya kekal fokus memenuhi obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal dan beroperasi sebagai pembeli beras terakhir daripada pesawah dengan mengutamakan kepentingan negara walaupun berdepan dengan keadaan pasaran global yang tidak menentu. - DagangNews.com

