Berpantang maut sebelum ajal, dua mangsa tersepit selamat

20 Jan 2023 • 3:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan yang tersepit selepas terbabas di Lebuhraya Perling, Johor Bahru pada Jumaat.

image is not available
Keadaan kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang remuk dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Perling awal pagi Jumaat.

JOHOR BAHRU - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku terhadap dua mangsa kemalangan di Lebuhraya Perling berhampiran Sungai Danga di sini pada Jumaat yang terselamat walaupun kereta dinaiki mereka remuk teruk.

Kemalangan kira-kira pada jam 2 pagi itu mengakibatkan mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 20 tahun tersepit dalam kereta Proton Wira berkenaan.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazaruddin Ahmad berkata, seramai 12 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Proton Wira berkenaan telah terbabas sendiri dan terdapat dua mangsa tersepit. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut manakala operasi tamat pada jam 3.19 pagi.

Sebelum ini, foto nahas berkenaan tular di media sosial dan ramai pihak menjangkakan kedua-dua mangsa maut berdasarkan keadaan kereta yang remuk selain diselaputi kain putih, ada pengguna jalan raya menzahirkan ucapan takziah kerana menyangka mangsa maut.