
PRODUSER terkenal, Datuk A Aida mendedahkan pengalamannya ketika koma yang menyentuh hati.
Menerusi audio siar Confession Bilik Gelap,pemilik nama Zaidah Awang itu mengalirkan air mata mengimbas kembali detik pilu dilalui menerima rawatan akibat komplikasi lutut Unit Rawatan Rapi (ICU) November tahun lalu.
Menyifatkan ia antara situasi yang dilalui antara hidup dan mati, ia disifatkan amat menyakitkan dan seolah-olah berada di antara hidup dan mati.
"Mati adalah sakit. Memang betul, saya tak tahu sewaktu koma itu sama ada saya mati atau tidak.
"Tapi ustaz cakap, saya ini berada antara dua alam, seperti hendak pergi atau mahu balik semula," katanya.

Dalam masa sama A. Aida turut berkongsi bahawa dia terasa seperti berada di langit sambil berdoa kepada ALLAH untuk permudahkan pemergiannya kerana tidak mampu untuk menahan kesakitan itu.
"Semasa koma, memang saya rasa seperti berada di atas langit yang berwarna putih. Saya pakai baju yang berambu-rambu panjang dan berwarna hitam.
"Saya berputar pada bahagian atas dan memang terasa amat sakit sampai saya berdoa, ‘Ya ALLAH, ENGKAU ampunilah dosa yang aku buat ini, Ya ALLAH, ambilah nyawaku, aku sudah tidak boleh, kerana sakit ini, Ya ALLAH'," ujarnya.
"Ketika itu seolah berjuta-juta orang sedang cuba menyambar saya. Adik saya sambar, bawa turun ke bawah. Duduk berpandangan dengan dia sekejap, sakit pun hilang.

"Kemudian saya disambar lagi dibawa ke atas lagi. Berpusing lagi, kemudian abang pula sambar saya. Hilang sakit. Dan kemudian ditarik lagi.
"Akhirnya saya tersedar, ustaz di sebelah. Ketika itu ustaz beritahu 'ALLAH beri Cik Dah peluang kedua," kongsinya.
Menurutnya, sahabatnya, Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim ketika itu menerangkan situasi dilaluinya itu antara hidup dan mati.
"Ustaz beritahu saya sedang berada di antara dua dunia iaitu antara pergi dan tidak pergi.
"Seolah ada sesuatu urusan yang belum selesai lagi di atas dunia ini. Bertudung lah kot atau istiqamah. Bermakna ada satu urusan yang belum selesai lagi.
"Rasa sakit itu sehingga kini masih ada dan mencucuk," kongsinya.
Pengalaman getir yang dilalui itu nyata meninggalkan kesan mendalam dalam hidup A Aida. Tidak hanya kepada dirinya malah keluarga.
Sumber: YouTube Confession Bilik Gelap
