
Parti Bersama Malaysia (Bersama) bakal membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 pada 6 Oktober ini, tiga hari sebelum Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, Bersama berkata pembentangan berkenaan bertujuan mengembalikan persaingan politik negara kepada pertembungan idea, dasar serta penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, Belanjawan Bayangan 2027 akan membolehkan orang ramai meneliti cadangan Bersama dalam usaha menjajarkan dasar fiskal dan percukaian negara ke arah lebih mampan.
“Pembentangan Belanjawan Bayangan 2027 akan membolehkan orang ramai meneliti cadangan-cadangan BERSAMA untuk menjajarkan dasar fiskal dan percukaian negara ke arah yang lebih mampan.
“Seterusnya, ia membolehkan orang ramai menilai kemampuan pembiayaan dasar dan program-program negara yang terkandung dalam Kertas-Kertas Kancil yang akan dilancarkan,” katanya.
Kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Bersama oleh Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab itu memaklumkan Kertas Kancil merupakan kertas dasar yang memperincikan isu struktur membabitkan ekonomi, politik dan sosial yang memerlukan penyelesaian segera.
Katanya, siri pertama Kertas Kancil akan dilancarkan pada 27 September ini, sebelum Belanjawan Bayangan dibentangkan pada 6 Oktober.
Siri kedua dan ketiga Kertas Kancil pula masing-masing dijadualkan dilancarkan pada 24 Oktober dan 28 November.
“Bersama berharap fokus kepada dasar dan cadangan penyelesaian yang diambil ini akan memberi tekanan kepada parti-parti politik lain untuk bersaing di atas platform dasar, bukannya berlegar dengan isu sentimen semata-mata,” katanya.
Enam tokoh sertai Panel Dasar Bersama
Dalam perkembangan sama, Bersama mengumumkan enam tokoh sebagai kumpulan pertama yang menganggotai Panel Dasar Bersama.
Panel berkenaan bertanggungjawab memberikan maklum balas serta cadangan balas secara bebas terhadap platform dasar gerakan itu.
Enam individu berkenaan ialah Prof. Madya Dr. Ibnor Azli Ibrahim, pakar perunding perubatan Dr. Feizal Fakurruddin, pengasas EMIR Research Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff, Khoo Kay Peng, Dr. Hamidon Abdul Rahman dan John Lee Von Leon.
Menurut Bersama, panel tersebut menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk ekonomi, kewangan, kesihatan, pendidikan, perundangan Islam, teknologi dan penyelidikan dasar.
Katanya, para panel akan bekerjasama rapat dengan kumpulan dasar Bersama selain memantau secara bebas pembangunan pendirian dasar yang sedang diusahakan.
Setiap siri Kertas Kancil turut akan melalui proses maklum balas bersama Panel Dasar Bersama sebelum rundingan dengan pemegang taruh dilaksanakan.
Baca juga:Draf akhir kertas dasar itu kemudiannya akan dibuka kepada orang ramai bagi mendapatkan maklum balas sebelum dilancarkan secara rasmi.




