Bersama umum calon PRN Melaka awal Ogos

LocalPolitics
8 Jun 2026 • 11:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bersama umum calon PRN Melaka awal Ogos
Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Jelajah Kancil peringkat Melaka pada Ahad.
Image from: Bersama umum calon PRN Melaka awal Ogos
Rafizi Ramli

MELAKA - Parti Bersama Malaysia (Bersama) menyasarkan untuk mengumumkan calon-calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjelang awal Ogos depan selepas proses penilaian dan analisis sokongan pengundi di seluruh negara dimuktamadkan.

Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ia susulan Melaka setakat ini belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, ketika ini parti tersebut masih dalam fasa mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi bukan sahaja di Melaka, malah di beberapa negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan.

“Kita bercadang untuk mengumumkan calon-calon ini lebih awal, cuma rancangan ini terganggu sedikit sebab DUN Johor dengan Negeri Sembilan dibubarkan.

“Proses mengenal pasti kerusi itu sedang berjalan, dijangka menjelang awal Ogos kita sudah boleh tahu jumlah kerusi yang akan ditandingi di Melaka.

**media[3543768]**

“Kita perlukan lebih kurang sebulan untuk menilai tahap penerimaan pengundi di seluruh negara termasuk Melaka bagi membantu menentukan kerusi yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jelajah Kancil di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Tambahnya, Bersama yang bergerak secara solo dan bersifat pelbagai kaum mempunyai kelebihan untuk bertanding di mana-mana kerusi bergantung kepada sokongan pengundi setempat.

Mengulas mengenai sambutan keahlian parti di Melaka, Rafizi berkata, ia masih memberangsangkan meskipun negeri itu bersaiz kecil berbanding negeri lain seperti Selangor, Johor dan Sabah.

Katanya, pengalaman berpolitik sebelum ini menunjukkan kekuatan sokongan tidak hanya bergantung kepada jumlah keahlian semata-mata, sebaliknya tahap kesungguhan penyokong di lapangan.

“Kalau zaman PKR (Parti Keadilan Rakyat) dulu, untuk mendapatkan kehadiran seperti program ini bukan mudah untuk orang datang terutama pada Ahad malam Isnin seperti ini.

“Dulu ketika berkempen di Melaka sekitar tujuh atau lapan tahun lepas, pada awalnya hanya 20 hingga 30 orang  yang hadir. Ia tidak mudah. Jadi pada pandangan saya, jika sambutan seperti ini, ia memberangsangkan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan persiapan jentera PRN Johor kini sedang diperkukuh dengan penetapan pasukan penggerak di setiap kerusi yang bakal ditandingi.

Katanya, Bersama akan menggunakan pendekatan “total silence and total surprise” dalam menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi sehingga tarikh penamaan calon diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, beliau menegaskan Bersama kekal dengan pendirian untuk bertanding secara solo dengan model politik baharu

Katanya, parti itu akan meneruskan pendekatan politik baharu tanpa tanpa terikat dengan parti lain.

“Pendirian itu memang kita sudah umumkan sejak hari pertama iaitu kita akan bertanding sendiri secara solo dan tidak akan berbincang dengan mana-mana pihak.

“Ini bukan soal parti itu atau parti ini, tetapi tujuan penubuhan Bersama ialah untuk memberi ruang yang bebas dan tidak terikat dengan pendirian politik sesiapa.

“Jika kita mula berbincang, maka kita perlu mengambil pendirian secara gabungan. Bila secara gabungan, setiap parti mempunyai pertimbangan masing-masing dan itu bercanggah dengan asas penubuhan Bersama.

“Saya harap perkara ini dapat menghentikan semua spekulasi. Kami akan bergerak solo,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved