BERSATU akui wujud pertikaian calon di DUN Bayan Lepas

Politics
30 Jul 2023 • 6:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Poster calon dan bendera Pakatan Harapan (PH) mula dipasang bagi menyemarakkan lagi suasana berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan foto Bernama di sekitar Jalan Masjid Negeri, Georgetown hari ini. gambar BERNAMA

IPOH -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku wujud pertikaian mengenai pencalonan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Dominic Lau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini pada awalnya tetapi keadaan itu dikatakan sudah semakin reda.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagaimanapun beliau percaya perkara itu tidak memberi kesan negatif kepada PN dan kebanyakan pengundi Melayu di DUN itu akan tetap memberi undi kepada Dominic.

“Ramai yang merasakan bahawa kerusi itu lebih sesuai diwakili oleh calon dalam kalangan orang Melayu, tetapi itulah keindahan yang ada pada PN apabila kita meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu.

"Jadi jangan bimbang, walaupun memang ada pertikaian pada mulanya, namun selepas penamaan calon keadaan semakin reda dan kita yakin sokongan orang Melayu kepada parti,” katanya pada sidang media di pekarangan Pejabat Bersatu Negeri Perak di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan tiada kelibat penyokong PAS mengiringi pencalonan Lau yang juga Presiden Gerakan di pusat penamaan calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar manakala dianggarkan kurang 100 individu dalam kalangan ahli Gerakan dan Bersatu berkumpul di pusat penamaan calon itu.

Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas PN kekal dengan pendirian menamakan Lau dan menolak Setiausaha Pas Pulau Pinang Iszuree Ibrahim sebagai calon di DUN berkenaan yang mempunyai majoriti lebih 60 peratus pengundi Melayu. -- BERNAMA