Bersatu Kelantan tidak tolak kemungkinan Hadi dilantik Pengerusi PN

LocalPolitics
1 Jan 2026 • 12:39 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Bersatu Kelantan tidak menolak kemungkinan Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dilantik sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa hari ini, pernah menawarkan jawatan itu kepada presiden PAS tersebut.

Bagaimanapun Hadi, kata beliau, menolak tawaran tersebut, lapor BH.

“Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu Bersatu dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari PAS.

“Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi," katanya

Sebelum ini, selain Hadi, nama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut sebagai pengganti Muhyiddin dan mereka dilihat sebagai calon terkuat untuk menggalas jawatan tersebut.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari.

Selain beliau, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumum melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan pengerusi PN Selangor diikuti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya melihat cadangan supaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Pengerusi PN sebagai cadangan yang menarik.

“Saya nampak banyak pihak cadang YAB Sanusi sebagai Pengerusi Perikatan Nasional. Cadangan yang menarik, saya setuju,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan bahawa parti itu akan mencadangkan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Muhyiddin.

Bercakap kepada Scoop, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang, selaras dengan perlembagaan gabungan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama-nama pemimpin yang berkemungkinan akan dicadangkan. - 1 Januari, 2025

The post Bersatu Kelantan tidak tolak kemungkinan Hadi dilantik Pengerusi PN appeared first on Scoop.