
LABUAN: Pemimpin lama dalam parti harus bersikap terbuka dan rela untuk berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin muda untuk menerajui barisan kepimpinan parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata negara, khususnya di Labuan pada umumnya memerlukan barisan pelapis pemimpin muda yang berwibawa dan berpendidikan.
“Saya telah memberi penjelasan kepada barisan kepimpinan Bersatu Labuan bahawa kita perlu memberi peluang dan membuka pintu parti untuk penyertaan pemimpin-pemimpin muda menerajui parti.
“Peluang ini akan mendedahkan kepada mereka menimba pengalaman dalam perjuangan politik, dan kita tidak harus mendominasi barisan kepimpinan parti, sampai umur berapa kita mahu rela berundur?...apabila masanya kita perlu berundur, berundurlah untuk memberi laluan kepada pelapis generasi muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Labuan di Hotel Lazenda, di sini, pada Ahad.
Suhaili, yang merupakan ketua bahagian Bersatu Labuan, berkata terdapat ramai generasi muda yang berpendidikan tidak berupaya menonjolkan daya kepimpinan dalam politik ekoran ‘ketidakrelaan’ sebilangan pemimpin parti politik untuk berundur.
Beliau juga berkata pucuk pimpinan Bersatu akan meletakkan calonnya untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Labuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Kita tidak nafikan meskipun Bersatu bertapak di Labuan tidak lama seperti parti-parti yang lain, namun, sebilangan besar ahli Bersatu Labuan adalah merupakan ahli-ahli dari parti-parti politik ini.
“Mereka inilah yang menggerakkan jentera parti sehingga Bersatu Bahagian Labuan menjadi sebuah parti yang kini diterima masyarakat pelbagai kaum di pulau ini dengan bilangan jumlah keahlian melebihi 5, 000 sehingga hari ini,” katanya.
Suhaili berkata Bersatu Labuan akan mengambil pendekatan politik matang menjelang kempen PRU-15 dengan mementingkan perpaduan kaum dan mengutuhkan silaturahim.
“Sudah semestinya manifesto Bersatu PRU-15 khususnya untuk Labuan adalah mengutamakan kebajikan rakyat, mengembalikan kegemilangan ekonomi Labuan dan peluang pekerjaan untuk anak tempatan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
