Bersatu nafi jalin hubungan rapat dengan PH - Muhyiddin

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 2:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhyiddin. Foto Bernama

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata, tuduhan tersebut merupakan dakwaan liar yang tidak berasas dan berniat jahat semata-mata untuk menjejaskan keharmonian dalam Bersatu serta antara parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menentukan dasar dan hala tuju parti.

"Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat.

“Kerjasama Bersatu dengan mana-mana parti lain adalah berpandukan prinsip yang jelas ini," katanya dalam satu hantaran pada Isnin.

Muhyiddin menjelaskan, atas prinsip itulah, Bersatu telah mengasaskan PN bersama Pas dan kemudiannya dianggotai oleh Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Beliau menyifatkan, PN merupakan wadah terbaik untuk Bersatu merealisasikan perjuangannya dan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian berkenaan.

"Fokus Bersatu ketika ini adalah untuk memperkukuhkan parti serta memperkuatkan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," ujarnya lagi.