Bersatu Putatan nafi 300 ahli sertai Umno-BN

Politics
27 Sep 2022 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PUTATAN: Bersatu Bahagian Putatan menafikan 300 ahlinya keluar parti dan menyertai Umno.

Ketua Armada Bersatu Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Datuk Seri Arsit, berkata dakwaan bahawa 300 ahli Bersatu Putatan keluar parti untuk menyertai Umno adalah tidak berasas.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat Pemangku Ketua Bahagian Umno Putatan, Jeffrey Nor adalah tidak berasas dan sengaja direka oleh beliau untuk mengejar populariti murahan.

“Memang benar ada seorang dua yang keluar parti iaitu Ketua Cawangan Sembulan Selatan dan Ketua Cawangan Tanjung Aru Baru, namun Ketua Srikandi, Ketua Armada dan ahli-ahli cawangan tersebut masih kekal bersama Bersatu dan cawangan itu juga masih aktif serta baru sahaja selesai mengadakan persidangan cawangan mereka.

“Dakwaan Jeffrey adalah cakap-cakap kosong semata-mata. Sementara Individu yang mendakwa mewakili kumpulan itu, Sulaiman Salleh, juga bukan ahli Bersatu dan kami tidak kenal siapa individu itu.

“Saya mencabar Jeffrey agar membuktikan dari mana beliau dapat seramai 300 ahli Bersatu itu? Cukup-cukuplah dengan pembohongan ini, jadilah pemimpin bertanggungjawab dan bukan mengeluarkan kenyataan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohd Isquzawan mengulas laporan media bahawa 300 ahli Bersatu dan Parti Warisan Sabah (Warisan) kawasan Parlimen Putatan menghantar borang permohonan menyertai Umno dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin di sini, Sabtu lepas.

Menurut Jeffrey, sebelum ini seramai 630 orang ahli Bersatu dan Warisan Putatan juga telah menyerahkan borang permohonan menyertai Umno.

“Ini merupakan kumpulan kedua ahli-ahli Bersatu dan Warisan yang dikatakan telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Umno kerana kononnya merasakan tertipu dengan pelbagai janji manis parti tersebut,” katanya.

Mohd Isquzawan percaya, tindakan Jeffrey Nor itu didorong oleh keinginan membuak untuk menjadi calon kerusi Parlimen Putatan.

“Saya nasihatkan beliau agar menjadi pemimpin yang betul-betul mempunyai usaha untuk parti yang disertainya. Jangan menjadi pemimpin yang hanya tangkap muat dengan memanipulasikan angka untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Isquzawan berkata, kesemua 80 cawangan Bersatu Bahagian Putatan telah selesai mengadakan mesyuarat cawangan mereka, dengan empat daripadanya adalah penaja.

Katanya, persidangan Bersatu Bahagian Putatan dijangka diadakan pada 9 Oktober 2022, dengan seramai 600 perwakilian dijangka menghadirinya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.