Bersatu sedia hadapi PAS : Muhyiddin

LocalPolitics
17 Jun 2026 • 9:02 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Bersatu sedia hadapi PAS : Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Parti Bersatu bersedia untuk berdepan dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, sehingga kini tiada musyawarah diadakan berkenaan pembahagian kerusi pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Kita dan pandai kira dan congak. Kalau dulu menang dengan kerusi yang banyak kerusi, kalau dah berpecah memang tidak akan menang banyak.

“Tapi tak mengapa, kalau dia dah buat keputusan atas pertimbangan dia, kita buat pertimbangan rasmi atas keputusan yang PAS buat, bukan Bersatu buat.

“Kami bersedia untuk berlawan di semua bahagian, apa nak takut sangat, politik itulah dia, kita boleh hadapi dan Insya Allah akan berjaya,’’ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti berkenaan, malam tadi.

PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai, manakala Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos.

Baru-baru ini, menerusi hantaran Minda Presiden di Facebook, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan lebih banyak parti khususnya parti Berjasa, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan MIC.

Hadi turut mendakwa Bersatu melakukan pembahagian kerusi ketika pilihan raya umum (PRU) dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli serta jentera.

Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar masih belum memanggil mesyuarat bagi membincangkan mengenai persiapan pilihan raya.

“Sewajarnya Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memanggil mesyuarat, kita agak dukacita sampai hari ini tiada satu mesyuarat diadakan khususnya persiapan pilihan raya.

“Saya tidak bandingkan kehebatan saya, tapi masa saya jadi Pengerusi MPT PN, setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) apatah lagi PRN saya panggil (mesyuarat).

“Saya tidak tahu kenapa perkara ini berlaku, sekarang ketika keadaan kritikal perkembangan politik semasa beri kesan kepada PN dan kedudukan parti, kalau tiada keputusan ‘free for all’ (boleh bertanding di mana-mana kerusi) itu bahaya, kalau itu keputusan kita akan bertembung kita sama kita,” katanya. - 17 Jun, 2026

The post Bersatu sedia hadapi PAS : Muhyiddin appeared first on Scoop.