Bersatu tak pertahan Endau, calon lama berhijrah ke parti lain - Muhyiddin

LocalPolitics
27 Jun 2026 • 1:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bersatu tak pertahan Endau, calon lama berhijrah ke parti lain - Muhyiddin
Muhyiddin

MUAR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat selepas parti itu menilai semula kekuatan dan peluang kemenangan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap kerusi diteliti sebelum keputusan dibuat, termasuk mengambil kira tindakan penyandang kerusi itu telah meninggalkan parti.

“Apabila kita hendak menentukan kawasan yang akan ditandingi, kita teliti semula kawasan itu.

“Sewajarnya kerusi berkenaan ditandingi oleh calon lama kita. Namun, apabila calon lama sudah berhijrah ke parti lain, kita perlu membuat penilaian semula,” katanya ketika ditemui media selepas proses penamaan calon bagi DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada strategi parti dan Bersatu tidak menetapkan semua kerusi perlu ditandingi.

“Kita perlu melihat sama ada calon baharu yang diketengahkan mempunyai peluang untuk menang atau sebaliknya. Itu perkara biasa dalam politik.

“Banyak kerusi lain juga, bukan semestinya apabila diperuntukkan kepada kita, kita mesti bertanding. Kita melihat kepada asas kekuatan parti, sokongan di peringkat akar umbi serta sentimen semasa pengundi,” katanya.

Terdahulu, penyandang DUN Endau, Alwiyah Talib yang mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk kembali menyertai UMNO awal bulan ini, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan pada PRN Johor.

Sementara itu, Muhyiddin ketika ditanya mengenai pendirian Bersatu kesediaan membentuk gabungan kerajaan sekiranya tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah berkata, enggan membuat sebarang ramalan.

“Saya tak nak buat ramalan. Saya bukan peramal.

“Namun, jika berlaku situasi yang dikatakan hung parliament (Parlimen tergantung), seperti yang pernah berlaku sebelum ini sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, parti-parti yang terlibat perlu memikirkan cara untuk membentuk kerajaan.

“Mesti ada gabungan, tetapi saya tidak mahu membuat sebarang ramalan sehingga pilihan raya selesai,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved