BERSATU Terima 4 Keping Cek, Setiap 1 Bernilai RM200,000 - Saksi

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 6:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

BERSATU Terima 4 Keping Cek, Setiap 1 Bernilai RM200,000 - Saksi

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima RM800,000 menerusi empat pembayaran cek daripada sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Perkara itu disahkan saksi pendakwaan, Chang Hui Chin, 50, yang merupakan pegawai operasi Maybank Shah Alam.

Hui Chin berkata, bayaran berkenaan dibuat KCJ Engineering Sdn Bhd kepada BERSATU pada 1 September 2022.

Katanya, perkara tersebut dirujuk berdasarkan penyata Maybank milik KCJ Engineering bertarikh 31 Oktober 2022 yang menunjukkan empat pengeluaran cek, masing-masing bernilai RM200,000 setiap satu.

“Saya mengesahkan terdapat tandatangan pada cek-cek tersebut dan saya mengesahkan tandatangan itu milik Zulhelmi Mairin @ Kunting serta Mohd Zaid Yusoff yang merupakan penandatangan sah bagi akaun KCJ Engineering Sdn Bhd,” katanya ketika membacakan penyataan saksi.

Hui Chin menyatakan demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berdepan tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

Beliau turut mengesahkan telah dirujuk kepada dokumen pembukaan akaun syarikat bertarikh 19 Oktober 1999 yang menyenaraikan pengarah syarikat serta penandatangan sah, termasuk Datuk Azman Yusof.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Datuk Amer Hamzah Arshad, Hui Chin bersetuju bahawa kesemua penerima bagi empat cek terbabit adalah BERSATU.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa semua pembayaran itu direkodkan dengan sewajarnya dan transaksi berkenaan dilaksanakan secara telus.

“Keempat-empat transaksi itu dapat dilihat dalam penyata kewangan pembayaran cek serta rekod penerima cek, dan perkara itu dipersetujui oleh saksi,” mahkamah diberitahu.

Pada prosiding 9 Mac lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa akaun BERSATU menerima RM19.3 juta menerusi 28 transaksi cek enam tahun lalu yang mencetuskan tanda amaran sebelum dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia.

Mahkamah turut diberitahu bahawa parti berkenaan menerima tambahan RM6 juta antara Februari hingga November 2022.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu merupakan perdana menteri dan presiden BERSATU, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat serta seorang individu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB milik Bersatu di Petaling Jaya serta Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Prosiding di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada 16 April ini. - Getaran, 13 April 2026