
SEREMBAN – Penduduk Taman Tuanku Ja’afar Golf Resort, Senawang di sini gempar apabila seekor beruang matahari memasuki kawasan kediaman mereka dan merosakkan atap sebuah pondok Ahad lalu.
Kejadian mencemaskan pada pukul 12 tengah malam itu sempat dirakam penduduk, namun pada masa sama khuatir mengenai keselamatan mereka terutamanya kanak-kanak.
Pada mulanya mereka menyangka terdapat pencuri sebelum ternampak kelibat haiwan liar berkenaan. Kejadian itu kemudian tular di TikTok dan Facebook hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan beruang matahari tersebut daripada penduduk pagi ini.
“Perhilitan Negeri Sembilan telah memasang satu perangkap kamera bagi mengesan kehadiran beruang matahari di kawasan Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Senawang berdekatan taman itu sejak 21 September lalu
“Kami akan mengalihkan perangkap jika beruang tersebut masih berkeliaran di taman tersebut,” katanya.
Menurut Wan Mat, pemasangan perangkap tersebut sebelum ini susulan aduan yang diterima berkaitan serangan madu kelulut yang diusahakan di dalam kem oleh beruang matahari tersebut.
Jelas beliau, beruang matahari merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan habitatnya dalam Hutan Simpan Angsi.
“Setakat ini pengecaman secara morfologi status jantina beruang matahari itu belum boleh dikenal pasti,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Beruang Senawang ‘cerdik’ elak perangkap appeared first on Kosmo Online.

