Besar harga perjuang hak Sabah: Jeffrey

LocalPolitics
15 May 2024 • 4:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mohd Izham Bin Hashim

Kota Kinabalu: Tiga dekad selepas penahanan beliau selama 26 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini sudah dimansuhkan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa tidak pernah ada komplot untuk Sabah berpisah daripada Malaysia.

Menurut Jeffrey, penahanannya pada Mei 1991 di bawah ISA adalah bermotifkan politik semata-mata oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghalang kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada masa itu daripada mengejar hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan perlindungan 20 Perkara.

“Mengaitkan saya dengan 20 Perkara untuk memisahkan Sabah adalah salah sama sekali,” kata Timbalan Ketua Menteri Negeri merangkap presiden Star Sabah itu.

Jeffrey berkata Dr Mahathir tidak pernah menerima PBS, sebuah parti yang diketuai abangnya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya negeri pada 1985.

SPONSORED CONTENT Electrifying windows of opportunity in Sabah - The right policies, collaborations, and strategies can turn emerging opportunities into victories for all parties in Sabah. CHIEF Minister Datuk Seri Panglima Hajiji Noor’s 2021 Hala Tuju Sabah Maju Jaya Plan and the Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) have laid out a road map to an exciting future for all Sabahans, with a target of increasing Sabah’s income levels and GDP per capita from about RM 23,000 to about RM 40,000 by 2030. Read more Parti Pairin berusia sebulan itu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Berjaya di bawah Tan Sri Harris Salleh, yang merupakan sekutu rapat Dr Mahathir.

“Ia suatu langkah untuk menutup mulut saya,” Jeffrey memberitahu suatu forum dalam talian tentang ulang tahun penahanan ISA beliau, yang dihoskan oleh Sabah Way Forward dan KupiKupifm Sabah, dan dikendalikan oleh wartawan Philip Golingai.

Jeffrey menjelaskan bahawa beliau membangkitkan perjanjian 20 Perkara untuk Sabah, yang ditafsirkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai percubaan untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia.

Beliau masih ingat panggilan telefon daripada Perdana Menteri Dr Mahathir yang memberi amaran kepadanya supaya tidak “mengajar rakyat apa yang mereka tidak tahu”.

Menurut Jeffrey, kerajaan persekutuan menggunakan pelbagai kaedah untuk memberikan tekanan kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri mengalami kesukaran mendapatkan peruntukan persekutuan kerana pejabat pembangunan baharu yang ditubuhkan bagi menghalang dana daripada sampai ke negeri ini,” kata Jeffrey, yang juga pengarah Yayasan Sabah ketika itu.

Sebagai tindak balas, pada 1 Januari 1987, Jeffrey bertanya kepada Kuala Lumpur mengenai layanan tidak adilnya terhadap kerajaan Sabah dan kenapa ia melayan negeri itu seperti tanah jajahan.

Beliau berkata ia hanya permulaan masalah dengan kerajaan persekutuan, yang semakin meruncing apabila PBS menarik diri daripada Barisan Nasional pada pertengahan pilihan raya umum 1990.

PBS bertukar pihak dan bersekutu dengan pembangkang kebangsaan di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu.

“Atas sebab ini, mereka melabel saya pengacau kerana pada masa itu, tiada siapa yang ingat 20 Perkara dan MA63 yang semuanya dirahsiakan,” kata Jeffrey.

Jeffrey adalah antara tujuh orang yang ditahan kerana dakwaan komplot itu. Beliau dibebaskan daripada tahanan ISA di Kamunting pada Disember 1994.

“Tidak pernah ada sebarang komplot atau penglibatan kerajaan PBS untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia,” katanya sambil menyatakan bahawa kerajaan negeri hanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara Kuala Lumpur melayan Sabah.

Bagaimanapun, Jeffrey berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan buruk terhadap Dr Mahathir. “Saya memaafkannya dan tidak mempunyai masalah dengan Dr Mahathir. Saya tidak berdendam kerana jika anda mengikat diri anda dengan masa lalu, anda tidak akan bergerak ke hadapan. Saya lepaskan, saya teruskan hidup,” katanya.

Mengimbau hari-hari yang membawa kepada penahanannya, Jeffrey berkata beliau terlebih dahulu menjadi sasaran siasatan rasuah sebelum pelaksanaan ISA.

Beliau berkata sebelum penahanannya, sebilangan besar anggota polis hadir ke suatu Pesta Kaamatan di Tambunan dengan membawa surat memintanya melapor diri ke balai polis pada 13 Mei 1991.

“Apabila saya dibebaskan... saya berjumpa Dr Mahathir dan beliau meminta maaf kepada saya,” kata Kitingan.

Katanya, beliau masih mengalami mimpi buruk mengenai penahanannya dan menjadi sangat emosi bila hanya memikirkan bagaimana dia dikhianati.

Jeffrey juga menafikan beliau melarikan diri ke luar negara apabila polis mencarinya sebelum ditangkap. Beliau berkata dia terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana dia diekori terus ke rumahnya. Malah beliau terpaksa melarikan diri dengan berpura-pura menjadi “pemandu Jeffrey”.

“Saya akhirnya menyerah diri, bukan kerana saya mahu, tetapi kerana saya fikir ia tidak betul bahawa mereka mengejar saya,” tambahnya.

“Saya tidak menyesal. Saya bersedia mati untuk negara saya.

“Mereka mengambil kebebasan saya. Mereka mengambil segala-galanya daripada saya. Tetapi saya tahu saya betul. Saya gembira dapat melakukan sesuatu untuk Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article