
KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan sekiranya terdapat kerabat di negeri ini menggunakan kedudukan dan nama institusi diraja untuk memperdaya orang lain demi kepentingan peribadi.
Baginda bertitah, setiap kerabat perlu menghormati undang-undang kerana kedudukan sebagai kerabat diraja bukan alasan untuk bertindak sesuka hati.
Titah Sultan Sharafuddin, setiap kerabat turut bertanggungjawab atas tingkah laku masing-masing kerana ia boleh memberi kesan kepada pandangan masyarakat terhadap keluarga Diraja Selangor.
“Cara kita membawa diri, berinteraksi dengan masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab hendaklah mencerminkan maruah serta kewibawaan keluarga dan institusi.
“Beta tidak berkenan jika ada dalam kalangan ahli kerabat Beta mengambil kesempatan atas nama kerabat diraja untuk memperdaya mana-mana orang demi memperoleh kepentingan diri,” titahnya pada Majlis Jamuan Teh Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Titah Sultan Sharafuddin, setiap ahli keluarga diraja Selangor mempunyai amanah untuk menjaga nama baik kerabat.
Baginda turut menasihati seluruh kerabat supaya menyelesaikan permasalah antara mereka dengan baik dan berhemah sekiranya berlaku salah faham.
“Jangan ambil pendekatan untuk mengeruhkan keadaan dengan mengadu domba, menyebarkan cerita tidak benar atau mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan sesama kita,” titahnya.
Dalam pada itu, baginda berharap pertemuan bersama keluarga diraja Selangor hari ini bukanlah pertemuan terakhir, sebaliknya menjadi titik tolak kepada siri pertemuan ahli keluarga pada masa akan datang.
“Beta juga menyeru agar setiap ahli kerabat membaca buku Salasilah Keturunan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor yang akan Beta lancar nanti supaya kita semua tahu sejarah dan susur galur Kesultanan Selangor,” titahnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Beta tidak berkenan jika ada kerabat ambil kesempatan’ appeared first on Kosmo Online.





