liza12/05/2026 - 17:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei – Betamek Berhad bersama Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah menamatkan projek pembangunan teknologi keselamatan kenderaan generasi baharu yang dikenali sebagai “SafeSync 360: Next Gen Infotainment with Child Guard Technology”.
Projek berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama antara anak syarikat penyelidikan Betamek iaitu Betamek Research Sdn Bhd dan UTP dalam usaha memperkukuh inovasi teknologi automotif tempatan khususnya dalam aspek keselamatan penumpang kanak-kanak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Betamek berkata projek itu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem Pengesanan Kehadiran Kanak-Kanak (CPD) yang mampu mengesan kehadiran kanak-kanak yang tertinggal di dalam kenderaan secara tidak sengaja.
“Teknologi berkenaan turut digabungkan dengan sistem infotainmen kenderaan generasi baharu bagi mewujudkan penyelesaian keselamatan yang lebih menyeluruh dalam ekosistem kenderaan moden.
“Projek tersebut berjaya mencapai tahap Kesiapsiagaan Teknologi (TRL) 6, membuktikan teknologi itu telah melepasi fasa ujian prototaip dan hampir bersedia untuk dikomersialkan,” katanya.
Selain itu, pembangunan teknologi ini turut memenuhi keperluan penilaian di bawah protokol ASEAN NCAP (New Car Assessment Programme) 2026–2030 bagi teknologi pengesanan kehadiran kanak-kanak yang menjadi antara standard keselamatan penting di rantau ini.
Betamek berkata pencapaian ini juga merupakan antara kejayaan penting kerana ia dianggap sebagai teknologi CPD pertama yang direka, dibangunkan dan dihasilkan oleh syarikat Malaysia.
Kerjasama dengan UTP pula dilihat menggabungkan kepakaran industri dan akademik dalam mempercepatkan pembangunan teknologi automotif yang lebih pintar dan selamat.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa teknologi SafeSync 360 berpotensi diperluaskan untuk digunakan dalam segmen kenderaan elektrik dan juga kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) pada masa akan datang.
Betamek menyasarkan untuk meneruskan usaha mengkomersialkan teknologi itu bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab inovasi automotif serantau. - DagangNews.com





