Betul Ke Culas Ibadat Tapi Hidup Senang Istidraj? Ini Penjelasan Pejabat Mufti

LocalOpinion
16 Jun 2025 • 6:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Segelintir umat Islam sering mengaitkan kelapangan rezeki dan kejayaan dunia sebagai tanda keberkatan hidup. Ramai yang beranggapan bahawa apabila sesuatu urusan dipermudahkan, maka itulah petunjuk bahawa Allah SWT reda dengannya.

Namun begitu, dalam Islam kita diajar untuk tidak menilai sesuatu semata-mata daripada sudut zahir. Nikmat yang melimpah ruah belum tentu membawa kepada keredaan Allah SWT jika hati dan amal tetap jauh daripada jalan ketaatan.

Istidraj adalah salah satu konsep penting yang disebut dalam al-Quran dan hadis. Ia menjadi peringatan bahawa nikmat dunia kadangkala bukanlah hadiah, sebaliknya adalah jerat yang perlahan-lahan menyesatkan mereka yang lupa kepada Allah SWT.

Apa Itu Istidraj & Bagaimana Ia Berlaku

Istidraj berasal daripada kata akar daraja yang membawa maksud naik satu peringkat demi satu peringkat.

Dari sudut istilah, istidraj merujuk kepada keadaan di mana seseorang diberi nikmat oleh Allah SWT secara beransur-ansur, walaupun dia terus melakukan maksiat dan menjauh dari perintah agama.

Menerusi Surah al-Qalam ayat 44, Allah SWT menyatakan bahawa Dia akan menarik golongan ini sedikit demi sedikit ke jurang kebinasaan tanpa mereka sedari.

Dalam pada itu, para ulama menjelaskan bahawa istidraj berlaku apabila seseorang merasa selesa dengan kelapangan rezeki atau pujian manusia, tetapi sebenarnya sedang diuji secara halus hingga dia terus lalai daripada bertaubat.

Tambah mereka, nikmat yang diberikan bukan kerana Allah SWT reda, tetapi sebagai bentuk hukuman yang ditangguhkan.

Selain itu, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan bahawa istidraj ialah apabila Allah SWT terus memberi nikmat kepada seseorang, namun dalam masa yang sama, nikmat itu membuatkan dia semakin lalai dan jauh daripada-Nya.

Beliau memberi contoh dengan menggambarkan seseorang yang dulunya hidup susah tetapi kuat beribadat, namun apabila hidupnya berubah menjadi senang dan mewah, dia mula meletakkan urusan dunia lebih utama daripada akhirat.

Bezakan Antara Kurniaan, Ujian & Istidraj

Kurniaan Allah SWT biasanya dikaitkan dengan ketaatan dan amal soleh. Sebagai contoh, seseorang yang rajin bersedekah, menjaga solat dan berakhlak baik, lalu dikurniakan kelapangan rezeki, itu adalah bentuk kurniaan dan tanda kasih-Nya

Sebaliknya, jika seseorang terus bergelumang dalam maksiat tetapi tetap hidup senang, tidak ditimpa musibah atau kesulitan, maka itu adalah petanda istidraj.

Allah SWT membiarkan dia tenggelam dalam nikmat sehingga lalai dan lupa untuk bertaubat.

Manakala ujian pula berlaku apabila seorang hamba diuji dengan kesusahan dalam keadaan dia taat, bagi menaikkan darjat dan keteguhan imannya.

Nabi dan para sahabat sendiri diuji dalam pelbagai bentuk walaupun sangat taat. Perbezaan ini penting agar kita tidak keliru dan leka dengan nikmat yang sebenarnya menyesatkan.

Bila Rezeki Banyak Tapi Hati Jauh Dari Allah SWT

image is not available
Sumber: Pexels/Freepik

Antara tanda utama istidraj ialah apabila seseorang diberi kesenangan dunia seperti harta, kesihatan dan pujian, tetapi hidupnya penuh dengan kelalaian dan dosa.

Dia mungkin tidak menjaga solat, tidak peduli halal haram, namun tetap berjaya dalam urusan dunia.

Ulama menyifatkan ini sebagai bentuk tipu daya dari Allah SWT, yang membiarkan hamba itu hanyut sehingga tiba azab secara mengejut.

Ibnu ‘Athaillah dalam kitab al-Hikam mengingatkan agar kita sentiasa curiga jika nikmat datang berselang dengan maksiat, kerana itu mungkin istidraj.

Sebab itu, orang beriman digalakkan sentiasa bermuhasabah. Rezeki yang membawa kepada kelalaian dikhuatiri bukanlah sesuatu yang diberkati.

Hanya rezeki yang membawa kita kepada amal, taubat dan peningkatan iman sahaja dianggap sebagai rahmat sebenar daripada Allah SWT.

Nilaikan Kurniaan Nikmat Dengan Hati-Hati Sebagai Iktibar

Tidak semua yang tampak indah di mata adalah petunjuk kebaikan. Nikmat yang datang boleh menjadi rahmat, ujian atau istidraj, bergantung kepada bagaimana ia diterima dan digunakan.

Oleh itu, penting untuk kita sentiasa bermuhasabah dan melihat sejauh mana nikmat itu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Harapnya setiap nikmat yang diberi menjadi jalan menuju ketaatan, bukan kelalaian. Semoga bermanfaat sebagai peringatan kita bersama.

View Original Article