![Image from: Betul Ke Rambut Ibu Gugur Banyak Sebab Air Liur Bayi? Ini Penjelasannya [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/rambut-gugur-bila-bayi-main-air-liur.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Proses melahirkan anak sememangnya memberi kesan kepada golongan ibu yang baru bersalin.
Manakan tidak, ada segelintir wanita dilihat mengalami perubahan fizikal mendadak sehingga mengubah saiz badan jika dibandingkan sebelum proses kelahiran.
Malah, ada satu keadaan di mana rambut akan gugur dalam kuantiti yang banyak sebaik bayi mula bermain air liur.
Pernah tak anda sebagai ibu terfikir dan hairan kenapa rambut gugur dengan banyak dan berbeza dari kebiasaan? Kadangkala takut dibuatnya!
Bahkan, ada segelintir yang mendakwa kejadian itu mempunyai kaitan dengan air liur bayi.
Rambut Gugur Tiada Kaitan Dengan Bayi Main Air Liur, Berlaku Disebabkan Perubahan Hormon
Sebenarnya keguguran rambut yang dialami oleh para ibu tidak mempunyai kaitan dengan air liur bayi.
Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Dr Maryam Sakinah, rambut ibu sememangnya boleh gugur dalam tempoh empat bulan selepas bersalin.
Ini kerana jelasnya hormon estrogen pada ketika itu sedang menurun dengan mendadak.
“Kebetulan bayi-bayi sembur pun lebih kurang empat hingga lima bulan. Betul waktu yang sama, tetapi baby main air liur bukan penyebab rambut ibu gugur.
“Penyebab rambut ibu gugur disebabkan hormon estrogen menurun dengan mendadak,” katanya.
Rambut Berada Di Fasa Telogen, Selepas Badan Mengalami Tekanan
Perkara yang sama turut dijelaskan oleh sebuah klinik pakar kulit dan rambut, Klinik Dr Bazilah di TikTok.
Jelas mereka, rambut ibu mula gugur dengan banyak sebaik bayi sudah mula pandai bermain air liur dan fenomena ini dikenali sebagai Telogen Effluvium (TE).
Ia satu keadaan di mana individu mengalami masalah keguguran rambut secara berlebihan yang terjadi dalam tempoh anggaran tiga bulan.
Kebiasaannya keadaan itu berlaku akibat stres (tekanan) atau perubahan hormon yang mendadak.
Jelas klinik itu, tekanan dalam konteks tersebut merujuk kepada proses bersalin itu sendiri.
Proses Mengandung Buat Rambut Ibu Hamil Jadi Lebat Kerana Peningkatan Hormon
Jelasnya, rambut ibu menjadi lebih lebat disebabkan peningkatan hormon estrogen yang mendadak ketika fasa kehamilan.
Namun, keadaan ini mula berubah beberapa bulan selepas melahirkan anak dan masuk ke fasa Telogen yang juga dikenali sebagai fasa rehat.
“Waktu mengandung, hormon estrogen yang tinggi buat rambut jadi tebal dan lebat. Bila sudah bersalin, hormon estrogen turun dengan mendadak.
“Rambut kita terpaksa masuk ke fasa telogen atau fasa rehat. Fasa ini mengambil masa lebih kurang tiga bulan.
“Waktu bulan ketiga inilah mommy akan perasan rambut gugur banyak sangat macam penyakit kanser,” katanya.
Rambut Akan Tumbuh Balik Dalam Masa 6 Bulan
Namun, mommy-mommy jangan risau kerana rambut ini akan tumbuh semula dalam tempoh enam bulan.
“Rambut yang banyak gugur bermakna lebih banyak rambut akan masuk ke fasa satu (pertumbuhan rambut) iaitu fasa Anagen atau fasa pertumbuhan.
“Rambut akan tumbuh balik dalam masa kurang daripada enam bulan,” katanya.
Terang klinik itu, sekiranya individu masih lagi mempunyai masalah keguguran rambut yang kronik selepas tempoh enam bulan, kemungkinan anda sedang berhadapan dengan Kronik TE (Telogen Effluvium) dan perlu berjumpa dengan doktor.
Menerusi ruangan komen, klinik berkenaan turut mencadangkan agar golongan ibu mengambil suplemen yang boleh memberi nutrisi kepada rambut seperti vitamin D dan kurangkan stres sepanjang tempoh tersebut.
@drbazilah Ada yang ada masalah macam ni jugak tak? Agak2 rambut mummy semua dah gugur berapa bulan? #telogeneffluvium #gugurrambutwaktumenyusu #rambutgugurlepasbersalin #rambutgugurperempuan #rawatanrambutgugur #klinikdrbazilah ♬ Educational(258830) – TimTaj
Tonton video penuh [DI SINI]
Baca Artikel Berkaitan: Stress Rambut Gugur? Ini 5 Tips Untuk Atasinya
Baca Artikel Berkaitan: Ini Senarai 7 Makanan Bantu Selesaikan Masalah Rambut Gugur
Baca Artikel Berkaitan: Malu Rambut Semakin Nipis Kerana Gugur? Ini Mungkin Punca & Cara Atasinya
