Bi Ka Lila Man amang seksual kanak-kanak dijel dua tahun, satu sebatan

12 May 2026 • 5:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bi Ka Lila Man amang seksual kanak-kanak dijel dua tahun, satu sebatan
Seorang pengawal keselamatan dari Nepal dihukum penjara selama dua tahun dan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan dari Nepal dihukum penjara selama dua tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, bulan lalu.

Bi Ka Lila Man, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Nepal di hadapan Hakim, Tasnim Abu Bakar.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu dipenjara serta-merta selain menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan dikenakan pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun empat bulan di sebuah kedai di Bukit Bintang di sini, antara jam 12.32 pagi hingga 12.33 pagi pada 25 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis pada hari kejadian selepas anaknya memaklumkan telah disentuh oleh tertuduh ketika berada di premis berkenaan.

Wanita itu kemudian pergi ke kedai terbabit untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan memegang bahagian punggung mangsa tanpa kerelaannya.

Rakaman CCTV itu turut menunjukkan tertuduh memberi isyarat tangan seolah-olah berpuas hati selepas melakukan perbuatan berkenaan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum atas alasan perlu menanggung dua anak serta ibu bapanya yang sudah tua di negara asal.

“Saya ada sepasang anak dan perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua di negara asal,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa merupakan seorang kanak-kanak.

Menurutnya, hukuman itu penting bagi memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan selain meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab melindungi kanak-kanak.

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada hukuman tetapi juga usaha rehabilitasi supaya tertuduh memahami kesan tindakannya terhadap mangsa,” katanya.