Biadab betul buat onar dalam balai polis

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rakaman tular sekumpulan lelaki bergaduh dalam balai polis di Meru, Klang.

MERAK Jalanan terkejut dengan satu video tular melibatkan sekumpulan lelaki tempatan yang melakukan kekecohan dan pergaduhan dalam Balai Polis Meru, Klang.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.40 malam apabila tiga lelaki tempatan hadir ke balai itu untuk membuat laporan polis. Namun, secara tiba-tiba mereka didatangi oleh lima lelaki lain.

Situasi itu mencetuskan perbalahan antara kedua-dua pihak sehingga salah seorang daripada kumpulan lima lelaki itu memukul pengadu menggunakan sebatang besi.

Kekecohan itu turut mengakibatkan kerosakan televisyen milik balai polis sebelum semua suspek melarikan diri dari lokasi itu.

Ekoran daripada kejadian itu pihak polis berjaya menangkap lima lelaki tempatan berumur 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

Jadi Merak Jalanan harap polis jangan bagi muka kepada pihak terlibat membuat kekacauan dalam balai polis.

Jangan lupa dengan kejadian serangan balai polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024 yang menyebabkan dua anggota polis maut manakala seorang lagi cedera.

Selepas peristiwa itu semua balai polis mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap keselamatan.

Jadi dalam kejadian berlaku di Balai Polis Meru itu merupakan perkara yang memalukan dan perlu tindakan tegas.

Samseng yang datang membuat kacau itu nampaknya begitu berani menceroboh balai polis dan melakukan perbuatan yang biadab serta tidak hormat langsung dengan undang-undang.

Cuma Merak Jalanan juga harap bos-bos polis dapatlah beri perhatian lebih banyak kepada Klang supaya tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan jenayah yang mencemarkan imej sebagai Bandar Diraja.