Biadap titah Sultan Selangor, 500 peserta berhimpun depan SUK Sabtu ini

LocalPolitics
11 May 2026 • 4:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Biadap titah Sultan Selangor, 500 peserta berhimpun depan SUK Sabtu ini
Mohamed Sukri (tengah) bersama kepimpinan Pemuda Pas Selangor menunjukkan pelekat bertulis '#DaulatTuanku' selepas sidang media di Pejabatnya di sini pada Isnin.

SHAH ALAM - Kira-kira 500 peserta termasuk penyokong beberapa parti politik dijangka menyertai Himpunan Daulat Tuanku pada Sabtu ini susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, himpunan itu mendapat sokongan beberapa parti politik termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

"Ada beberapa parti politik yang sudah menyatakan sokongan termasuk Pejuang dan Bersatu, manakala UMNO juga ada menzahirkan pendirian dalam beberapa siri kenyataan sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Mohamed Sukri memberitahu, himpunan itu dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang di Pintu 1 Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Ujar beliau, Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku itu terdiri daripada Pemuda Pas Selangor bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan Islam (NGI).

Beliau berkata, himpunan itu diadakan bagi menzahirkan kesetiaan rakyat kepada Sultan Selangor selain mempertahankan institusi diraja negeri ini.

Katanya, pihak sekretariat juga akan menyerahkan memorandum kesetiaan kepada Sultan Selangor di hadapan Istana Kayangan pada hari sama.

Mohamed Sukri mendakwa, tindakan beberapa pemimpin DAP yang terus membangkitkan isu berkaitan penternakan babi di Selangor disifatkan sebagai tidak menghormati titah Sultan Selangor.

"Kita melihat perkara ini sebagai satu bentuk kebiadaban terhadap institusi diraja dan titah Sultan Selangor.

"Sepatutnya titah Tuanku dihormati dan dilaksanakan, bukannya terus dipersoalkan,” jelas beliau.

Menurutnya, pihak penganjur sudah membuat pemakluman kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor berhubung penganjuran himpunan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, anggota Jabatan Amal juga akan ditempatkan sepanjang himpunan itu berlangsung bagi memastikan keselamatan peserta serta mengelakkan sebarang provokasi.

"Kita mahu himpunan ini berjalan secara aman dan tertib. Peserta juga diingatkan supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa wakil rakyat DAP mengikuti kursus kenegaraan bagi memahami falsafah institusi raja berperlembagaan serta prinsip Rukun Negara.

Menurutnya, pemimpin parti berkenaan perlu memahami Sultan Selangor adalah pemerintah negeri yang wajib dihormati, manakala setiap titah baginda tidak seharusnya dipersoalkan secara terbuka.

"Jangan sampai wujud keadaan seolah-olah mereka tidak memahami sensitiviti rakyat dan kedudukan Sultan sebagai payung negeri," tambah beliau.