'Biarlah kami berpanas asalkan tak menyusahkan orang' - Ibu 3 OKU mental

16 Mar 2026 • 1:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rohani bersama tiga anaknya kini tinggal di bawah khemah selepas rumah yang didiami sejak empat dekad lalu di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok musnah dalam kebakaran pada 8 Mac lalu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Rohani bersama tiga anaknya kini tinggal di bawah khemah selepas rumah yang didiami sejak empat dekad lalu di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok musnah dalam kebakaran pada 8 Mac lalu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Rohani di hadapan rumahnya yang musnah dan telah mengorbankan nyawa anak keduanya, Che Mohamad Faizul. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Ibu kepada enam orang anak tidak kisah hidup dalam serba kekurangan asalkan tidak menyusahkan orang lain. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

BACHOK - Seorang ibu bersama tiga anaknya terpaksa meneruskan kehidupan dengan berlindung di bawah khemah selepas rumah yang didiami sejak empat dekad lalu di Kampung Mujur, Jelawat di sini musnah dalam kebakaran pada 8 Mac lalu.

Rohani Mohamad, 66, berkata, selain tidak mempunyai pilihan, pada masa sama dia enggan menyusahkan saudara mara selepas rumah yang mahu disewa terletak jauh daripada penempatan asal.

"Tiga anak saya adalah OKU (orang kurang upaya) mental. Mereka ambil ubat, tapi saya bimbang kami akan menyusahkan orang lain.

"Biarlah kami berada di sini (dalam khemah) walaupun terpaksa berpanas, bertemankan nyamuk dan kadang kala ular yang muncul dari kawasan semak berhampiran," katanya ketika ditemui pada Isnin.

**media[3464972]**

Menurut ibu kepada enam orang anak itu, walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan mereka reda asalkan tidak menyusahkan orang lain.

Ujarnya, kebakaran terbabit bukan sahaja menyebabkan mereka hilang tempat berlindung tetapi turut memusnahkan dua buah kereta dan tiga motosikal.

Rohani memberitahu, walaupun Aidilfitri akan menjelang tidak lama lagi namun ia sudah tidak bererti buat mereka apabila kejadian tersebut turut meragut nyawa anak keduanya, Che Mohamad Faizul Che Sulaiman, 41.

"Sekarang ini kami hanya berdoa agar cepat dapat rumah sewa yang dekat dengan lokasi sekarang.

"Rumah lama ini hanyak tinggal kenangan terutama bersama arwah suami (Che Sulaiman) yang telah meninggal dunia 13 tahun lalu dan anak, Che Mohamad Faizul.

"Kami bernasib baik kerana sentiasa ada sanak saudara, orang ramai yang datang menghulurkan bantuan makanan," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 006128744105 atas nama Che Mohd Rizal.

**media[3464973]**

Sinar Harian pada 8 Mac lalu melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung selepas rumah yang didiami bersama ibu dan tiga adiknya terbakar di Kampung Mujur, Jelawat di sini.

Che Mohamad Faizul yang merupakan OKU mental dipercayai terperangkap selepas masuk semula ke dalam biliknya.

Menurut adiknya, Che Norizah, 38, ibu mereka, Rohani melihat depan mata anak kedua daripada lima beradik itu rentung dijilat api.

"Empat hari sebelum kejadian abang yang mengalami masalah mental sudah menunjukkan perubahan sikap apabila dia tidak tidur dan sering mengugut untuk bunuh diri.

"Kebiasaannya apabila ibu pujuk untuk ke hospital ambil ubat, abang akan patuh, tetapi kali ini tidak. Dia banyak menentang.

**media[3464974]**

"Hari ini (Ahad) sekitar jam 9 pagi abang sekali lagi mengamuk dan menjerit mahu kami mati bersama. Dia sempat ambil pisau namun diselamatkan oleh ibu," katanya.

Che Norizah memberitahu, kemuncak kejadian apabila Che Mohamad Faizul telah mengambil mancis dan lari masuk ke dalam bilik.

Ujarnya, abangnya itu telah membakar tilam serta selimut tebal di dalam biliknya.

"Api marak terlalu cepat, kami bukan sahaja hilang abang tetapi rumah tempat berlindung.

"Setibanya bomba, api dapat dikawal dan mayat abang ditemukan dalam keadaan rentung. Mayatnya telah dibawa ke HRPZII (Hospital Raja Perempuan Zainab II)," katanya.

Menceritakan tentang abangnya itu, Che Norizah memberitahu, Che Mohamad Faizul merupakan seorang peniaga dalam talian dan bekas pelajar diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan perkayuan namun tidak menamatkan pengajian akibat tekanan mental.

Ujarnya, abangnya itu bergantung kepada pengambilan ubat dan merupakan pelajar Anugerah Dekan.