'Biarlah orang nampak yang indah-indah saja' — Zulin Aziz fokus hidup dan kerjaya selepas perceraian, kekal harmoni bersama bekas suami

LocalFamily & Parenting
6 Mar 2026 • 10:53 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PELAKON dan pengacara Zulin Aziz memilih untuk mengekalkan privasi mengenai perceraian dengan bekas suami, Farhan Norzaini, selepas lebih empat tahun membina rumah tangga.

Bagi Zulin, bulan Ramadan yang mulia adalah masa terbaik untuk menjaga silaturahim dan mengekalkan hubungan baik.

"Saya tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai punca perceraian. Sekarang ini Ramadan, bulan yang mulia untuk menjaga silaturahim.

"Saya ingin hubungan kami kekal baik tanpa sebarang isu yang timbul akibat kenyataan berlebihan.

"Pada masa sama, saya perlu menghormati kedua-dua pihak, termasuk keluarga saya sendiri," kongsinya.

image is not available

Untuk rekod, perceraian pasangan tersebut disahkan berlaku pada 18 Disember tahun lalu. Terdahulu, Zulin berkahwin dengan Farhan yang merupakan rakan kongsi perniagaannya pada 20 Februari 2022. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Zulin juga sudah menamatkan tempoh iddah dan menegaskan hubungan mereka berdua tetap harmoni.

"Saya sudah selesai menjalani tempoh idah. Perpisahan dengan bekas suami berlaku secara baik dan hubungan kami masih harmoni.

"Hubungan keluarga kami juga tetap baik. Cuma sekarang bezanya kami bukan lagi suami isteri, tetapi semuanya masih berjalan dengan normal.

"Saya akan kembali ke zaman saya 33 tahun saya hidup single, saya cuba untuk sesuaikan diri.

"Benda masih baharu kan, sekarang pun masih kekok-kekok lagi. Raya macam biasa sebab saya pun tak ada masalah dengan keluarga bekas suami, jadi boleh aje beraya macam biasa," ujarnya.

image is not available

Fasa pemulihan 

Anak jati Kuala Lumpur itu turut menyingkap perasaan tentang komentar masyarakat yang mudah mengulas perceraian, terutama bagi selebriti.

"Itulah yang kita tak nak kongsi apa-apa. Lagi-lagi bulan Ramadan, kan jadi saya nak menjaga silaturahim kami biar kekal. 

"Disebabkan kita tak buka aib, saya tak nak nanti bagi kenyataan yang lebih-lebih tu buatkan tak okey pula. Saya kena hormati pihak sana juga dan keluarga saya sendiri kami dah berbincang baik-baik.

"Ramai orang mudah cakap, kenapa hendak bercerai seolah-olah macam membeli baju. Tetapi mereka tidak berada di tempat kita, mereka tidak tahu apa yang berlaku.

"Saya tidak perlu menjelaskan kepada semua orang. Biarlah orang bercakap, tetapi saya belajar bahawa saya lebih selesa dengan keputusan sendiri berdasarkan pengalaman orang lain," tegasnya.

Dalam fasa pemulihan selepas perpisahan, bekas penyampai radio itu mahu fokus kepada kehidupan peribadi dan kerjaya.

Sokongan keluarga, sahabat handai, dan rakan media yang rapat membantunya terus positif.

image is not available

"Alhamdulillah, saya ada keluarga dan sahabat yang sentiasa bersama saya. Sebab itulah saya tidak rasa terlalu terbeban.

"Saya dalam fasa pemulihan perlahan-lahan. Saya cuba untuk jadi macam biasa, bergelak tawa untuk menutup apa-apa masalah. Saya tidak suka sangat melayan emosi.

"Biarlah saya menangis, sedih atau apa sekali pun di rumah saja. Biarlah kalian nampak yang indah-indah saja.

"Saya tak nak dah. Dulu saya pernah share dekat, dekat media sosial kan sampai orang cakap saya ini cerai kali kedua padahal ini kali pertama kan. Jadi ada kekeliruan. Jadi saya ambil kesempatan terangkan yang sebenar," kongsinya lagi.

Zulin berkata demikian ketika ditemui SinarPlus dalam sidang media dan majlis tayangan perdana program Raya Astro di Pavilion Hotel, Bukit Bintang.