Biarpun Baju Ala K-Pop Dikritik Juri, Tomok Tetap Dapat Nombor Satu, Akui Tak Kecil Hati

Music
27 Sep 2022 • 2:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tomok berjaya mendapat tempat pertama pada minggu kedua Gegar Vaganza. - Gambar oleh Astro/AzrulRafie

Biarpun baju yang dipakainya sewaktu membuat persembahan di konsert minggu kedua Gegar Vaganza musim kesembilan pada Ahad lepas dikritik juri, namun Tomok tetap muncul sebagai peserta yang mengumpul markah tertinggi pada malam itu.

Juri tetap dari Indonesia, Hetty Koes Endang, telah mengkritik baju yang dipakai Tomok sewaktu mendendangkan lagu Janji Padamu dendangan asal kumpulan Exist yang dirasakannya sebagai kurang sesuai dengan lagu.

image is not available
Hetty Koes Endang

“Sejujurnya Bunda lebih suka jika Tomok menyanyikan lagu ini dengan memakai sut. Hati-hati jika memilih pakaian biar bersesuaian dengan cerita lagu yang dipilih,” katanya.

Sementara itu, Tomok ketika ditemui pihak media sewaktu sesi sidang media berkata dia tidak berkecil hati dengan kritikan juri tentang pakaiannya dan akan mengambil segala teguran dan nasihat untuk memperbaiki diri di masa akan datang.

“Masing-masing ada pendapat masing-masing jadi saya terima apa kata juri. Mungkin ada betulnya. Balik nanti saya akan lihat semula mungkin ada kesalahan dari segi penampilan dan sebagainya, jadi akan perbaiki untuk minggu-minggu seterusnya.

image is not available

Kata Tomok lagi, baju yang direka pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat itu adalah berdasarkan apa yang dimahukannya.

“Saya yang minta nak ‘look’ ala-ala K-pop seperti ini kerana saya mahu nampak lain daripada yang lain. Saya tak pernah pakai macam ni, jadi saya cuba,” kongsinya.

image is not available

Mengulas lanjut mengenai pencapaian cemerlangnya di minggu kedua yang berjaya meraih tempat pertama, kata Tomok dia langsung tidak menjangkakan perkara itu.

“Allahu Akbar, tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan. Saya sangat-sangat tak sangka.

“Kiri kanan saya ada penyanyi yang hebat-hebat seperti Jac, Shila Amzah, Dina, VE dan ramai lagi. Saya tengok sendiri waktu raptai mereka semua bagus-bagus.

"Jadi saya memang tak letakkan harapan untuk dapat nombor satu. Apa yang saya fikirkan hanyalah untuk berikan yang terbaik. Terselamat dari penyingkiran pun saya dah bersyukur," katanya.

image is not available

Kata vokalis kumpulan New Boyz ini lagi, kejayaannya meraih tempat pertama pada minggu kedua akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk membuat persembahan yang lebih baik untuk minggu-minggu seterusnya.

“Saya tak boleh nak pandang rendah pada semua peserta. Di awal-awal dulu saya fikir mungkin Jac yang akan jadi juara atau Shila dan Dina. Tapi bila masuk minggu kedua saya rasa semua 12 peserta telah mulakan permainan mereka,” katanya.

Untuk konsert minggu ketiga nanti, Tomok akan membawakan lagu 'Hukum Karma' dari kumpulan Wings yang telah dipilih netizen menerusi sistem undian.

“Saya tak pernah menyanyikan lagu ini secara solo. Jadi saya agak risau juga sebenarnya. Balik ni memang tak tidur la. Kita tengok apa yang boleh buat untuk lagu 'Hukum Karma' ni sebab saya tengok kawan-kawan saya yang lain semua dah masuk gear 2, gear 3. Jadi saya kena cari strategi macam mana nak buat persembahan saya nanti diterima juri dan penonton,” katanya. - Getaran, 27 September 2022