
KUALA LUMPUR – Bagai belum hilang penat konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung semalam, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat menghadirkan diri ke Majlis resepsi BASS (Bella Astillah dan Syed Saddiq) di Mitec, Kuala Lumpur hari ini.
Bukan itu sahaja, Siti, 47, menghadiahkan alunan lunak listrik vokalnya menerusi lagu Bukan Cinta Biasa buat pasangan mempelai sama cantik, sama padan itu secara langsung.
Anggun mengenakan busana tradisional berona hijau emerald dipadankan dengan songket, momen manis itu dikongsikan usahawan dan pempengaruh popular, Khairulaming menerusi Threads.
“Tokti sambung konsert kat sini guys. Nak nangis,” demikian coret Khairulaming berserta video pendek nyanyian penghibur ternama itu.
Rata-rata peminat melahirkan rasa kagum terhadap Siti yang bukan sahaja memenuhi undangan pengantin ke majlis resepsi, bahkan sempat menyanyi di acara penuh bermakna Bella dan suami, Syed Saddiq.
“TokTi dah berjanji akan buat persembahan untuk majlis kahwin Bella.. Alhamdulillah, tertunai.
“Fuh TokTi, semalam concert. Pagi tadi, M&G. Malam nyanyi untuk resepsi Bella dan Syed Saddiq. Betul-betul semangat TokTi dan tak tahu apa itu erti penat,” demikian antara komen peminat.
Konsert Tradisional Gema Bumantara berlangsung di TM Nasional Stadium Bukit Jalil semalam berjaya menarik kehadiran lebih 63,000 peminat walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.
Konsert mega itu dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. – KOSMO! ONLINE
The post Biduanita Siti Nurhaliza ‘sambung’ konsert di resepsi BASS appeared first on Kosmo Online.






