BIG CARING Group perkenal pusat pengedaran baharu, perkukuh model operasi

Business & Finance
10 Apr 2026 • 10:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
BIG CARING Group ketika lawatan media eksklusif ke pusat pengedaran dan ibu pejabat korporat baharu di Klang pada Khamis.
image is not available
Pusat pengedaran baharu itu direka sebagai fasiliti bersepadu berasaskan automasi yang menggabungkan robotik, sistem kawalan gudang dan platform pengurusan inventori.

BIG CARING Group pada Khamis memperkenalkan pusat pengedaran baharunya bersama ibu pejabat korporat berpusat di Klang, Selangor, menandakan satu langkah penting dalam usaha kumpulan memperkukuh model operasinya serta keupayaan rantaian bekalan melalui inovasi.

Pengarah Eksekutif BIG CARING Group, Lim Sin Yin berkata, pembangunan pusat pengedaran berpacukan automasi itu didorong oleh pengajaran daripada fasa pandemik Covid-19, yang mana corak permintaan tidak menentu serta tekanan ke atas rantaian bekalan menonjolkan keterbatasan model operasi tradisional.

Beliau berpendapat bahawa dengan berpandukan kecekapan semata-mata tidak mencukupi.

Di BIG CARING Group, kata Sin Yin, pengukuhan operasi dan rantaian bekalan sama penting dengan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan itu sendiri, bermula daripada cara merancang permintaan, menjangka keperluan serta mengatur bekalan secara lebih strategik.

"Pusat pengedaran ini berperanan sebagai enjin berprestasi tinggi yang menghubungkan perancangan dengan pelaksanaan, membolehkan kami mengurus operasi dengan kawalan dan struktur yang lebih baik.

“Hari ini, kami beroperasi dalam satu ekosistem yang saling berhubungkait dengan tahap keterlihatan, keanjalan dan keupayaan pintar lebih tinggi.

"Kecerdasan buatan (AI) menyokong perancangan, automasi bagi membolehkan pelaksanaan dan manusia kekal sebagai teras dalam proses membuat keputusan," katanya dalam kenyataan.

**media[3487033]**

Kumpulan farmasi runcit dan penjagaan kesihatan terbesar di Malaysia itu mengendalikan lebih 600 cawangan menerusi jenamanya seperti BIG, CARiNG, Georgetown, Ting serta Wellings.

Pada masa sama, BIG CARING Group turut berhubung dengan lebih 5,000 rakan penjagaan kesihatan yang merangkumi hospital, klinik dan pusat fisioterapi.

Seiring pertumbuhan rangkaiannya, kumpulan kini menguruskan secara purata lebih 90,000 pesanan setiap hari di pusat pengedarannya.

Pusat pengedaran baharu itu direka sebagai fasiliti bersepadu berasaskan automasi yang menggabungkan robotik, sistem kawalan gudang dan platform pengurusan inventori.

Lokasinya yang berhampiran dengan Pelabuhan Klang memperkukuh kecekapan rantaian bekalan masuk serta menyokong pengedaran di seluruh negara.

Di peringkat huluan (upstream), kumpulan telah memperkukuh keupayaan perancangan permintaannya melalui sistem pengisian semula pintar yang dipacu AI.

Sistem tersebut menganalisis corak jualan secara masa nyata, menjangka perubahan permintaan mengikut lokasi serta mengoptimumkan penempatan inventori di seluruh rangkaiannya, sekali gus membolehkan pendekatan perancangan yang lebih proaktif.

Di peringkat hiliran (downstream) pula, fasiliti berkenaan menggunakan gabungan penyelesaian yang disesuaikan mengikut profil inventori berbeza, termasuk sistem Tote-to-Person bagi item dengan frekuensi permintaan lebih rendah serta Shelf-to-Person dan penyelesaian berkelajuan tinggi untuk frekuensi permintaan lebih tinggi seperti ubat-ubatan.

Secara keseluruhannya, lebih 160 robot dan 700 rak beroperasi dalam sistem tersebut.

Sejak pelaksanaannya, sistem telah meningkatkan kecekapan pengambilan barangan sebanyak 76.5 peratus dan mencapai ketepatan pengambilan 99.8 peratus.

Selain peningkatan dari segi sistem dan teknologi, transformasi paling ketara dapat dilihat melalui cara pasukan gudang bekerja.

Melalui pendekatan 'barangan dihantar terus kepada pekerja', pergerakan manual dikurangkan, beban fizikal diringankan dan pasukan gudang mampu mengendalikan jumlah pesanan yang lebih tinggi dengan konsisten.

Pusat pengedaran dilengkapi ibu pejabat korporat baharu BIG CARING Group yang menghimpunkan pasukan daripada pelbagai jenama dan fungsi di bawah satu bumbung.

Ia bertujuan memperkukuh kerjasama, mempercepat proses membuat keputusan serta meningkatkan keselarasan di seluruh organisasi.