Bijak urus masa antara tip pelajar cemerlang Kolej Genius Insan SPM 2021

20 Jun 2022 • 4:40 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

“Tip untuk berjaya dalam peperiksaan adalah bijak mengurus masa dengan baik dan kerap mengulang kaji pelajaran bagi subjek yang lebih kritikal.”

Demikian perkongsian Muhammad Zaim Mohamad Shukri, 19, yang memperoleh 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Merupakan pelajar cemerlang, Kolej Genius Insan (KGI), di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Zaim berkata, dengan keputusan peperiksaan tersebut, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

image is not available

Sekiranya mendapat tajaan, anak keempat daripada enam adik beradik ini memasang impian untuk meneruskan pengajian ke United Kingdom atau Jepun.

Dalam pada itu, Muhammad Zaim yang merupakan Yang DiPertua Majlis Kepimpinan Pelajar untuk tempoh tiga tahun berturut-turut berkata, keaktifan pelajar dalam bidang kokurikulum sebenarnya tidak menganggu tumpuan dalam bidang akademik.

image is not available
Muhammad Zaim turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Kor Kadet Polis, peserta Sakura Science Exchange Programme di Jepun, peserta Insan Junior Researchers International Conferences dan terlibat dengan beberapa pertandingan robotik peringkat kebangsaan.

Sebaliknya, jika mereka tahu tanggungjawab sebagai pelajar dan menyusun jadual dengan baik, semuanya pasti berjalan dengan lancar.

Bagi pasangan kembar, Nurul Fatihana dan Nurul Fatiha Abdul Rahman pula, mereka melahirkan rasa syukur dengan keputusan cemerlang yang diperoleh itu.

Mendapat 8A dan 10A dalam SPM 2021, anak kelahiran Seremban ini berkata, banyak cabaran yang perlu mereka lalui terutamanya ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Belajar secara dalam talian dan perlu menjalani kuarantin selama dua minggu sebelum peperiksaan berlangsung adalah antara yang akan dingati sampai bila-bila, kata mereka.

Seramai 42 pelajar KGI menerima keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan pada 16 Jun lalu.

image is not available

Empat daripada jumlah itu memperoleh keputusan 11A, lapan pelajar 10A dan sembilan lagi mendapat 9A.

Manakala lima pelajar lain masing-masing peroleh 8A dan 7A, tiga pelajar 6A, dua pelajar 5A, 4A dan 3A serta seorang pelajar 2A.

Pengarah KGI, Dr Hayati Ismail mengucapkan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar atas pencapaian yang cemerlang dan usaha yang dilakukan sepanjang menjalani PdPR yang mencabar ketika pandemik Covid-19.

“Saya harapkan anak-anak KGI ini dapat menerap dan mempraktikkan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli di mana sahaja mereka berada,” katanya.

image is not available

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok