
Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SHAH ALAM, 30 DIS: Inisiatif program Bantuan BikeCare-1000 iaitu pemberian subsidi RM1,000 daripada Kerajaan Negeri untuk membeli motosikal membantu meringankan beban penerima.
Muhammad Isqandar Dzulkarnain Idris, 28, bersyukur kerana terpilih dalam kalangan 100 penerima bantuan berkenaan.

“Bila rakan maklumkan mengenai inisiatif ini saya terus mohon pada awal Disember lalu memandangkan motosikal yang sedang digunakan sudah berusia lapan tahun dan kerap rosak.
“Tak sangka boleh dapat bantuan. Dengan subsidi ini saya dapat beli motosikal baharu jenis Modenas Kriss 110 malah saya dapat berjimat kerana motosikal ini lebih jimat minyak,” katanya.
Menurutnya program itu wajar diteruskan kerana masih ramai berminat seterusnya dapat mengurangkan beban khususnya mereka yang bekerja dalam sektor itu.
Sementara itu, Ng Chee Kuang, 27, berkata dia yang bekerja sebagai ejen jualan menjadikan p-hailing sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Saya sudah berkahwin dan ada seorang anak, jadi siang hari saya bekerja sebagai ejen jualan dan malam saya buat Grab untuk tambah pendapatan.
“Dengan bantuan ini saya dapat beli motosikal Modenas MR3. Inisiatif ini sangat baik untuk diteruskan tahun depan malah lebih baik jika ditambah kuotanya supaya lebih ramai dapat manfaat,” katanya.
BikeCare-1000 adalah inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) memberi bantuan bayaran pendahuluan RM1,000 untuk pembelian motosikal kepada pekerja gig (p-hailing) yang memerlukan.
Antara syarat kelayakan permohonan termasuk pemohon merupakan warga Selangor, berusia 18 tahun ke atas, mempunyai lesen motosikal yang sah dan tidak disenarai hitam CTOS/CCRIS.
The post BikeCare-1000 bantu ringankan beban pekerja gig, wajar diteruskan appeared first on Selangorkini.
