
TUMPAT – Naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati selepas melihat kesan lebam pada tubuh anaknya membongkarkan kejadian dera dipercayai akibat perbuatan pengasuh di sebuah rumah di Pulau Pinang kelmarin.
Dalam kejadian itu, Muhammad Faris Syazwan Muhammad Zulkarnain yang berusia 10 bulan meninggal dunia sebelum tiba di klinik bagi mendapatkan rawatan.
Ibunya, Sharifatul Hapizah Shaful Hamid, 34, berkata, dia menghantar tiga anaknya termasuk Muhammad Faris ke rumah wanita itu untuk dijaga sejak sebulan lalu.
Katanya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana pengasuh wanita berusia 25 tahun itu sering menghantar gambar anaknya ketika meminum susu dan makan.
“Dia juga pernah menghantar gambar kesan lebam pada belakang pinggang anak bongsu, namun dia mendakwa kecederaan itu disebabkan perbuatan anak sulung (Muhammad Afiz Yusoff) yang berusia dua tahun. Selepas pulang ke rumah, saya baru sedar ada kesan lebam pada belakang pinggang dan paha anak.
“Bila ditanya, dia beritahu digigit abangnya. Saya mula syak ada sesuatu yang tidak kena kerana wanita itu baru sebulan menjaga tiga anak saya termasuk anak angkat berusia lapan tahun,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Geting, di sini hari ini.
Sharifatul Hapizah berkata, dia mengetahui keadaan anaknya selepas menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan pengasuh itu menghubunginya dan memaklumkan Muhammad Faris dalam keadaan lemah.
Katanya, ketika kejadian, dia yang bekerja di sebuah kilang di Tasek Gelugor meminta seorang rakan pergi ke rumah pengasuh sebelum membawa bayi itu ke Klinik Kesihatan Sungai Dua, namun jururawat memaklumkan Muhammad Faris sudah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mengesahkan anak saya maut akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan dalam otak,” katanya.
Cerita wanita itu, kali terakhir dia melihat anak bongsunya sedang tidur sehari sebelum kejadian. Sebelum ini Sharifatul Hapizah pernah memaklumkan kepada pengasuh bahawa dia bercadang berhenti kerja untuk menjaga anak-anak.
“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dan wanita itu menerima hukuman setimpal sekiranya dia melakukan perbuatan kejam tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Bila ditanya lebam, dia beritahu anak gigit’ appeared first on Kosmo Online.

