SANA sini orang bercakap mengenai Tony Pua. Siapa Tony ini? Tony pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara (2018–2022) dan Petaling Jaya Utara (2008–2018). Beliau turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP.
Namanya menjadi panas apabila mendakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu. Kenyataan dibuat ekoran titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu menyarankan beberapa pemimpin politik untuk menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melabelkan Tony biadab dan mempersendakan institusi diraja umpama kaduk naik junjung.
Peribahasa ini digunakan sebagai sindiran menggambarkan individu 'naik tocang' (terlalu besar kepala) setelah mendapat sedikit kuasa, kedudukan, atau kesenangan.
Kaduk ialah sejenis tumbuhan menjalar (seperti sirih) yang tumbuh melata di bawah. Apabila kaduk ini dipancang dibiarkan naik ke junjung, ia akan tumbuh tinggi melebih-lebih dan kadangkala melupakan tempat asalnya.
Hakikatnya, menjadi pemimpin bukan lesen menjadi angkuh. Politik tanpa adab melahirkan masyarakat tanpa hormat. Bila hormat sudah hilang, yang tinggal kebencian dan perpecahan. Akhirnya masyarakat sendiri hilang batas.
Kita boleh berbeza parti dan ideologi. Tetapi jangan sampai hilang adab terhadap institusi yang menjadi simbol perpaduan negara. Bila kaduk sudah naik junjung, biasanya dia bukan sekadar lupa diri, dia juga mula pijak tempat yang selama ini memberinya ruang berdiri.
Oleh demikian, Merak Jalanan nasihatkan supaya cabut, potong, atau buang sahaja si kaduk ini supaya ia tidak terus memanjat junjung dan merebak secara berlebihan sehingga menyusahkan orang lain.
