Bilal ditahan kerana pembesar suara masjid terlalu kuat

12 Oct 2026 • 5:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bilal ditahan kerana pembesar suara masjid terlalu kuat

BIJNOR: Polis menahan seorang bilal di bandar Najibabad, daerah Bijnor, kerana didakwa melanggar had bunyi yang ditetapkan ketika melaungkan azan.

Mohammad Faizan ditahan pada Sabtu selepas polis mendapati pembesar suara di Masjid Najibuddoula, berhampiran Government Inter College (GIC) di Najibabad, beroperasi pada tahap bunyi yang terlalu kuat.

Faizan kemudian dibawake mahkamah majistret daerah yang memerintahkan dia ditahan dalam tahanan kehakiman selama 14 hari, menurut pegawai.

Mereka menambah, bunyi daripada peralatan pembesar suara tidak boleh melepasi kawasan premis sekiranya tiada kebenaran penggunaan.

“Pihak pengurusan masjid tidak mempunyai kebenaran menggunakan pembesar suara. Dalam keadaan itu, bunyi daripada pembesar suara tidak boleh kedengaran di luar kawasan premis,” kata Penolong Superintenden Polis, Krishna Gopal Singh.

Beliau berkata, kerajaan dan mahkamah dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan berhubung penggunaan pembesar suara dan peralatan penguat bunyi lain, manakala polis menjalankan operasi bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan itu.

Menurut polis, pasukannya meronda di kawasan itu pada Sabtu sebelum terdengar bunyi pembesar suara yang kuat dari masjid berkenaan ketika tiba berhampiran GIC kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Ketika pemeriksaan, polis mendapati Faizan sedang melaungkan azan.

Polis berkata, tahap bunyi itu didakwa melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan pencemaran bunyi dan mengganggu orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Pegawai polis kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Najibabad. Polis membuka kertas siasatan terhadap Faizan, merampas pembesar suara, penguat suara dan mikrofon sebelum menahannya.- AGENSI

 

 

The post Bilal ditahan kerana pembesar suara masjid terlalu kuat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved