

Pengimport dan pengedar rasmi jenama Zeekr di Malaysia, Sentinel Automotive Sdn. Bhd. (Sentinel), telah merasmikan pusat pameran pertamanya di Petaling Jaya (PJ).
Berkeluasan 660 meter persegi, ruang pameran ini menampilkan dua model yang kini ditawarkan di pasaran Malaysia, Zeekr 009 dan Zeekr X yang bakal berkembang tidak lama lagi dengan ketibaan SUV elektrik Zeekr 7X dijangkakan pada suku ketiga tahun ini.
Lebih Daripada Sebuah Bilik Pameran
Sentinel menyifatkan pusat pameran PJ sebagai lebih daripada sekadar bilik pameran, sebaliknya sebuah pusat pengalaman yang mencerminkan visi Zeekr terhadap mobiliti yang lebih bersih, pintar dan mengujakan.
Pengarah Urusan Zeekr SEA, Alex Bao, turut menekankan komitmen jenama ini dalam menawarkan kenderaan premium berasaskan teknologi dengan prestasi tinggi, reka bentuk sofistikated, serta ciri-ciri canggih.

“Zeekr memahami bahawa kenderaan hari ini bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi perlu menawarkan integrasi teknologi yang lancar dalam kehidupan harian pemandu,” katanya.
Menurut Pengurus Besar Sentinel, Daniel Lee, pemilihan Petaling Jaya sebagai lokasi pertama bilik pameran Zeekr adalah selari dengan nilai teras jenama ini yang menekankan kemajuan, kelestarian dan inovasi.
Pelancaran tersebut turut menyaksikan penghantaran model pertama kepada pelanggan terawal. Zeekr berjaya mencipta momentum di Malaysia dengan menjadi jenama EV keempat terlaris pada Januari, dengan pendaftaran kenderaan sebanyak 101 unit, mengatasi jenama-jenama premium lain seperti BMW, Mercedes dan Volvo.
Zeekr Tawar EV Berprestasi Tinggi


Untuk makluman pembaca, Zeekr 009 merupakan MPV elektrik mewah dengan kabin luas, teknologi canggih dan sistem kuasa elektrik berprestasi tinggi yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 582 km setiap cas penuh.
Sementara itu, Zeekr X pula ialah hatchback elektrik yang elegan dengan sistem trenkuasa canggih, menawarkan pemanduan responsif serta jarak perjalanan maksimum 440 km.
Kunjungi Zeekr Space PJ

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi Zeekr Space PJ yang terletak di 58, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, untuk sesi pandu uji kenderaan Zeekr.




