'Billboard Kerajaan Madani bukan arahan saya'

Politics
29 Apr 2023 • 2:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika berucap di hadapan pengunjung yang hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani.

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pemasangan billboard atau papan iklan gergasi yang memaparkan Kerajaan Madani di semua negeri dihentikan.

Beliau berkata, ini kerana pemasangan papan iklan berkenaan tidak seharusnya menggunakan dana kerajaan.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Penerangan pemasangan sedia ada menggunakan peruntukan lama.

“Saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk dirikan billboard besar-besar, cukuplah yang ada tetapi ia tidak boleh diteruskan," katanya dalam sidang akhbar Majlis Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani pada Sabtu,

Anwar berkata, pemasangan papan billboard berkenaan sebenarnya tidak mendapat persetujuan beliau.

“Ketika saya dalam perjalanan ke Alor Setar saya dimaklumkan terdapat billboard Madani terpampang wajah saya di seluruh negara, ia tidak mendapat kelulusan saya.

“Saya beritahu, tidak payah belanja ini, dijawab oleh jabatan berkenaan ia menggunakan peruntukan lama, oleh kerana berlaku pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan peruntukan itu dipindahkan,” katanya lagi,

Menurut Anwar lagi, peruntukan berkenaan wajar digunakan untuk perkara lain yang lebih mustahak.

“Saya fikir peruntukan tersebut boleh digunakan untuk perkara lain, jadi saya arahkan semua billboard baharu dihentikan, kekal yang sedia ada sahaja. Saya tidak mahu ia diteruskan kerana ia menunjukkan pendirian Kerajaan Madani,” ujarnya.

Bagaimanapun Anwar tidak menyalahkan mana-mana pihak terlibat kerana mereka hanya meneruskan dasar sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: RM1.6 bilion untuk Kedah - PM