Bimbang Gejala Moral Dalam Kalangan Remaja, Agong Titah Wujudkan Revolusi Pendidikan

LocalPolitics
19 Nov 2025 • 6:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

SHAH ALAM - Isu jenayah serius melibatkan pelajar telah menimbulkan kebimbangan mendalam kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai satu peringatan bahawa pembentukan sahsiah di rumah dan institusi pendidikan perlu dinilai semula.

Bertitah pada Istiadat Konvokesyen Ke-103 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agung Canselor, baginda yang juga Canselor UiTM menzahirkan rasa kecewa apabila kejadian seumpama itu mencemarkan imej institusi pendidikan negara.

Baginda bertitah, sekolah dan universiti perlu melakukan muhasabah menyeluruh, termasuk melaksanakan satu revolusi pendidikan yang berteraskan nilai kemanusiaan, moral, kawal emosi dan kefahaman undang-undang.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat melahirkan generasi berdisiplin yang saling menghormati,” titah baginda.

Titah baginda, cabaran ini bukan sekadar akademik, tetapi menyentuh akar sosial masyarakat.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, pembentukan sahsiah bermula jauh sebelum anak-anak memasuki sekolah, dan keluarga perlu kembali memainkan peranan utama.

“Rumah adalah sekolah pertama bagi setiap individu, tempat anak-anak dididik dengan nilai, disiplin dan rasa tanggungjawab sejak kecil, malah penerapan moral mesti menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, bukan hanya tanggungjawab institusi,” titah baginda. 

Baginda turut menitahkan ibu bapa serta pendidik membimbing pelajar menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.

Baginda memberi amaran, pendedahan berterusan kepada kandungan ganas boleh meningkatkan sikap agresif dalam kalangan remaja.

Majlis konvokesyen tersebut turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, serta Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin. 

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM.

Seramai 32,630 graduan menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang.

Istiadat itu juga menyaksikan pelantikan mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Tan Sri Idris Jusoh, sebagai Pro-Canselor UiTM, menambah kekuatan kepimpinan universiti dalam pembangunan akademik. - Getaran, 19 November 2025

View Original Article