KUANTAN – Seorang penduduk di Kampung Sungai Karang Pantai di sini bimbang terhadap kejadian hakisan dan mendapan di tanah miliknya yang semakin serius, didakwa berpunca daripada sistem saliran lama yang tidak lagi mampu menampung aliran air.
Pesara, Mazlan Muhammad, 71, berkata, masalah itu disedari sejak kira-kira sebulan lalu selepas tapak sewaan di tanah berkenaan tidak lagi beroperasi sebelum mendapati sebahagian kawasan mendap dan runtuh akibat aliran air deras.
Menurutnya, keadaan itu turut menjejaskan perancangan masa depan keluarganya termasuk hasrat untuk kembali menetap di kampung selepas bersara.
“Saya bercadang untuk membina rumah di tanah milik saya ini, begitu juga anak-anak saya. Namun keadaan sekarang menyukarkan perancangan tersebut.
“Saya juga terpaksa menanggung kos baik pulih sedangkan masalah ini bukan berpunca daripada saya, sebaliknya dipercayai akibat sistem saliran sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Mazlan berkata, sistem saliran di kawasan itu dipercayai dibina sekitar 1970-an atau 1980-an dan kini tidak lagi sesuai dengan pembangunan pesat kawasan perumahan berhampiran.
Dakwanya, peningkatan aliran air susulan pembangunan sekitar turut memburukkan keadaan apabila kapasiti saluran sedia ada tidak mencukupi sehingga berlaku limpahan yang menghakis tanah.
“Saya bimbang jika dibiarkan, jalan utama di atas tanah ini boleh terjejas dan terputus. Kalau berlaku, kami perlu guna laluan lebih jauh," jelasnya.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir penduduk yang membuang sampah ke dalam parit sehingga menjejaskan aliran air.<
“Masih ada yang buang tilam, botol plastik dan pelbagai sampah lain ke dalam longkang walaupun tong sampah disediakan,” dakwanya lagi.
**media[3501351]**
Mazlan berkata perkara itu telah dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu bagi tindakan lanjut.
Beliau menganggarkan kos baik pulih kawasan terjejas boleh mencecah kira-kira RM10,000 dan berharap penyelesaian segera dapat dilaksanakan memandangkan ia turut melibatkan keselamatan serta hak milik penduduk.
Sementara itu, Andansura berkata, pihaknya telah meninjau lokasi selepas menerima aduan penduduk berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat struktur pembentung lama yang rosak sehingga menyebabkan aliran air tidak lagi melalui laluan asal, sebaliknya terus menghakis kawasan tanah berkenaan.
“Keadaan ini memerlukan perhatian segera. Kita telah mengemukakan surat kepada Pejabat Daerah serta menyalin kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian menyeluruh perlu diambil bagi memastikan sistem saliran di kawasan itu dapat diurus dengan lebih sistematik tanpa menjejaskan hak pemilik tanah.
“Perlu ada perbincangan dengan pemilik tanah supaya laluan air dapat diurus dengan baik serta mengelakkan masalah ini menjadi lebih parah pada masa akan datang,” katanya.
