BIMS 2025: GWM Haval H6 Facelift Dilancarkan Di Thailand – Gaya Lebih Agresif

WorldCars
25 Mar 2025 • 4:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Selepas diperkenalkan di China tahun lalu, Haval H6 facelift 2024 kini rasmi memasuki pasaran Thailand, diumumkan semasa acara Bangkok International Motor Show 2025 (BIMS 2025) yang kini sedang berlangsung.

Namun, berbanding versi China yang menerima kemas kini lebih menyeluruh, versi Thailand hanya diberikan perubahan pada bahagian hadapan, manakala rekaan belakang masih mengekalkan rupa asal.

Harga dan Varian Haval H6 di Thailand

image is not available

Bagi pasaran Thailand, tiga varian ditawarkan iaitu H6 HEV Pro pada harga THB929,000 (~RM122,000), H6 PHEV Pro pada THB1,049,000 (~RM137,000) dan H6 PHEV Ultra pada harga THB1.149 juta (RM150,000). Sebagai perbandingan, di Malaysia hanya satu varian dipasarkan, iaitu H6 HEV CKD pada harga RM139,800.

Perubahan Rekaan: Tumpuan pada Bahagian Hadapan

image is not available

Dengan kemas kini facelift ini, H6 kini kelihatan lebih agresif dengan gril krom smoked dan bampar baharu, dipadankan dengan lampu LED hitam smoked yang mengintegrasikan sistem pencahayaan "Waterfall Signature".

image is not available

Penampilannya diserlahkan lagi dengan kemasan hitam ‘piano’ pada trim pintu, trim but, bingkai tingkap sisi,dan rel bumbung, di samping jalur lampu belakang yang turut diberi kesan warna smoked seperti depan.

Semua varian menggunakan rim aloi 19 inci dengan kemasan hitam smoked, manakala varian tertinggi PHEV Ultra hadir dengan angkup brek merah untuk gaya lebih sporty.

Kemaskini Dalaman: Lebih Canggih dan Mewah

image is not available

Di bahagian kabin, gaya premium diserlahkan melalui penggunaan warna tema warna hitam dan perak. Paparan infotainmen kini diperbesarkan dari 12.3 inci kepada 14.6 inci serta dilengkapi sistem terkini GWM Coffee OS 3.0, dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8155. Untuk pasaran Thailand, sistem navigasinya menggunakan Huawei Petal Map.

Kelengkapan lain yang disediakan ialah stereng berbentuk D dan tombol gear elektronik. Untuk pengalaman pemanduan premium, sistem audio Amor Hi-Fi dan pengecas telefon tanpa wayar 50W turut disediakan.

Spesifikasi Enjin: Kuasa Sama, Prestasi Konsisten

image is not available

Kesemua varian menggunakan enjin yang sama dengan versi pra-facelift iaitu 1.5L turbo. Varian HEV menghasilkan 243 hp / 530 Nm. Sementara itu, varian PHEV memiliki output 326 hp/530 Nm, dengan bateri berkapasiti 27.54 kWj yang boleh dicas dengan pengecas DC 41 kW (CCS Type 2), yang memberikan jarak perjalanan EV sehingga 150 km.

Sistem Keselamatan Dipertingkat

H6 facelift disematkan dengan lebih 31 ciri keselamatan pintar, antaranya kamera 540 darjah (pandangan atas dan bawah kenderaan), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKA) dan bantuan pemusatan lorong (LCK).

Bila Malaysia Akan Terima Model Ini?

Kehadiran H6 facelift di Thailand tidak bermakna Malaysia akan menerimanya dalam waktu terdekat. Ini kerana model sedia ada baru sahaja dijual selama enam bulan, menjadikannya masih terlalu awal untuk diperbaharui. Dengan angka jualan tempatan kurang daripada 2,000 unit, sebarang peningkatan besar berkemungkinan hanya akan berlaku pada tahun 2026.

image is not available

Haval H6 HEV yang kini ditawarkan di Malaysia

Diharapkan apabila tiba di Malaysia, kita mendapat facelift penuh seperti yang dilancarkan di China, dan bukannya sekadar perubahan kecil seperti yang berlaku di Thailand.