Bina Darulaman, Pumar Solar Power bekerjasama teroka industri tenaga solar di Malaysia

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2023 • 2:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bina Darulaman, Pumar Solar Power bekerjasama teroka industri tenaga solar di Malaysia

diyana

25/09/2023 - 14:44

KUALA LUMPUR 25 Sept - Bina Darulaman Berhad (BDB), melalui anak syarikatnya, BDB Energy Sdn Bhd (BDB Energy), telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pumar Solar Power Sdn Bhd (PSP) untuk meneroka industri tenaga solar di Malaysia.

Ia merupakan langkah strategik dalam merealisasikan komitmen BDB Energy, syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang baru ditubuhkan, untuk mempromosikan sumber RE serta mengurangkan jejak karbon.

Dalam satu kenyataan media hari ini, BDB berkata MoU berkenaan turut menetapkan terma kerjasama meneroka peluang tenaga solar dengan memberikan tumpuan khusus di Kedah dan negeri-negeri berpotensi lain di Malaysia dan cukup bermakna bagi BDB Energy kerana ia sejajar dengan objektif perniagaan strategik syarikat.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata kerjasama tersebut selari dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menetapkan sasaran RE sebanyak 40% menjelang 2035 dan seterusnya 70% menjelang 2050.

Bagi mencapai sasaran berkenaan, beliau berkata ia memerlukan sokongan dan kerjasama kolektif di seluruh Malaysia dan BDB menerusi BDB Energy akan turut memainkan peranan bagi membolehkan sektor berkenaan berkembang di Kedah untuk memastikan kemajuan negara ke arah masa depan yang mampan.

image is not available

"MoU yang ditandatangani antara BDB Energy dan PSP ini menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memanfaatkan tenaga solar dan sumber RE lain yang memberikan impak positif kepada alam sekitar serta mempromosikan amalan perniagaan mampan.

“Ini sejajar dengan Teras Keenam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang memfokuskan pada Kemampanan Alam Sekitar dan akan turut diaplikasikan merentas pelbagai portfolio Kumpulan BDB,” katanya selepas menandatangai MoU tersebut di Hotel Raia, Alor Setar.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi BDB, Che Had Dhali; pengurusan kanan Kumpulan BDB; Ketua Pegawai Eksekutif PSP, Nor Azam Kamisan serta Ketua Pegawai Kewangan PSP, Masliza Abu Bakar.

Dalam pada itu, Raja Shahreen menjelaskan bahawa BDB Energy mempunyai beberapa bidang kepakaran utama iaitu penjanaan dan penghantaran kuasa elektrik; pengeluaran RE, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC); pembangunan tenaga solar, pengendalian kemudahan penjanaan boleh diperbaharui; penyelenggaraan dan rumusan kecekapan tenaga.

"MoU ini menandakan pendekatan strategik BDB Energy untuk menggunakan kepakaran teknikal PSP dan kehadiran pasaran yang mapan bagi mempercepat pertumbuhan dalam sektor RE,” tambahnya.

Beliau berkata kerjasama strategik itu akan dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penggunaan teknologi RE dan mempromosikan pembangunan mampan, justeru mengukuhkan lagi visi bersama kedua-dua syarikat untuk mendorong rumusan tenaga mampan di Malaysia dan di luar negara. - DagangNews.com