Bina kekuatan anak muda, bukan heret ke dalam politik sempit – Anwar

LocalPolitics
28 Apr 2025 • 10:53 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret anak muda ke dalam pergeseran politik sempit dan perbalahan kaum, sebaliknya memberi ruang kepada mereka membangunkan masa depan negara.

Beliau menegaskan, fokus utama seharusnya diberikan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan digital serta kecerdasan buatan (AI), bagi memperkasa generasi muda menghadapi cabaran masa depan.

“Jangan heret anak muda untuk berbincang isu yang melemahkan kita. Kita perlu bangunkan kekuatan mereka, bina negara ini, dan fikirkan masa depan rakyat serta anak muda kita untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Adakah kita mahu terus bergaduh soal kaum dan tafsiran atau kita mahu angkat martabat negara supaya menjadi sebahagian daripada negara maju yang mampu menangani ujian semasa?” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dalam ucapannya, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mengutamakan sektor pendidikan melalui Belanjawan Madani dengan peruntukan terbesar, bagi melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Tambah beliau, Kerajaan Madani komited memastikan anak muda tidak terjebak dalam isu yang memecahbelahkan, sebaliknya dibimbing dengan peluang membangunkan diri melalui pendidikan, latihan dan penguasaan kemahiran masa depan.

Anwar turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membina generasi muda yang berdaya saing dan menjadikan Malaysia antara negara terkemuka di rantau ini.