Bina KLCC guna tin

31 Aug 2026 • 8:53 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bina KLCC guna tin

LIPIS – Bermula hanya sebagai hobi mengisi masa lapang, seorang peniaga kedai makan tidak pernah menyangka kreati­vitinya menghasilkan replika menara berkembar Petronas daripada tin susu terpakai mencuri perhatian ramai.

Hasil tangannya kini menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelanggan yang singgah di rumahnya dan kedainya di Kampung Berkam, Bukit Betong di sini, untuk melihat sendiri keunikan karya berkenaan.

Khairul Azizul Jusoh @ Shaari, 34, berkata, idea itu tercetus da­ripada minatnya menghasilkan pelbagai hiasan menggunakan barangan terpakai, selain mahu meraikan sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

Menurutnya, antara barangan terpakai yang digunakan untuk menghasilkan hiasan itu terma­suk tin kosong, baldi, besen, bakul dan pelbagai bahan lain.

“Saya ambil masa kira-kira empat jam sehari selepas selesai berniaga untuk menyiapkan hiasan berkenaan, selain mendapat bantuan serta sokongan penuh isteri, Rosnelly Admiral, 41.

“Saya buka kedai untuk sarapan dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi dan selepas itu, saya akan meluangkan masa kira-kira dua jam untuk membuat hiasan.

“Pada sebelah petang pula kedai dibuka dari pukul 6 petang hingga 11 malam dan selepas tutup, saya sambung lagi kerja menghias sehingga kira-kira pukul 1 pagi,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Berkam, Bukit Betong di sini, semalam.

Menurutnya, kepuasan paling dirasai apabila penduduk kampung dan pelanggan yang datang ke kedainya turut mengambil kesempatan bergambar dengan replika itu.

Katanya, kebanyakan Jalur Gemilang dan peralatan hiasan dibelinya secara dalam talian dengan kos lebih RM400.

“Saya mahu orang kampung, terutama anak-anak muda, rasa seronok dan teruja dengan sambutan merdeka. Kalau usaha kecil saya ini boleh membuatkan mereka lebih menghargai Jalur Gemilang dan negara, itu sudah cukup bermakna.

“Tahun depan saya cadang untuk buat lebih baik lagi dengan menambah lebih banyak replika menara dan menggunakan lebih banyak bahan terpakai,” ujarnya.

The post Bina KLCC guna tin appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved