Bina senjata sendiri tanpa bergantung pada pihak luar

WorldOpinion
14 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bina senjata sendiri tanpa bergantung pada pihak luar

ADA tahun 70-an dahulu, siri Combat yang dibintangi Vic Morrow dan Rick Jason, sangat popular di Malaysia terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Mereka akan bina senjata sendiri untuk ‘berperang’ antara kumpulan masing-masing. Mereka ambil sekeping papan lalu dilukis gambar senapang atau mesingan seperti dalam siri berkenaan.

Kemudian mereka gergaji mengikut garisan lukisan tersebut. Sekeping kayu kecil diikat ke atas alas dengan gelung getah akan bertindak sebagai picu. Buah tasbih sebagai peluru, diletak pada picu dan ditarik dengan satu lagi gelung getah yang diikat pada hujung senapang. Jika picu atau pemetik ditekan ke bawah, maka peluru akan dilepaskan.

Ketika sedang berperang dengan sengit, tiba-tiba kehabisan peluru. Terpaksalah meredah hutan mencari pokok tasbih untuk mendapatkan bekalan peluru baharu. Setelah berperang selama beberapa minggu, akhirnya kedua-dua pihak kehabisan peluru dan pokok tasbih juga tiada lagi buah kerana sudah habis dipetik. Maka, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata sementara menunggu pokok tasbih berbuah semula.

Di zaman tiada internet, telefon bimbit dan siaran televisyen dengan puluhan saluran, budak kampung hanya memiliki kreativiti untuk menghidupkan suasana ‘peperangan’ mereka sendiri.

Begitu juga yang berlaku dalam peperangan di Asia Barat antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran. Setelah peperangan berlarutan selama lima bulan, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) melaporkan AS menggunakan lebih kurang satu pertiga daripada inventori peluru berpandu serangan dan peluru berpandu pemintas (pertahanan) mereka seperti Tomahawk, JASSM, PrSM, SM-3, SM-6, THAAD dan Patriot.

Peluru-peluru berpandu yang sangat mahal ini mengambil masa bertahun-tahun untuk dihasilkan, berbeza dengan pokok tasbih untuk menghasilkan buah. Maka, pihak yang kekurangan peluru berpandu terpaksa mengehadkan serangan dan mengisytiharkan gencatan senjata dengan alasan yang direka-reka.

Nampaknya, Kapal Tempur Pesisir (LCS) kita sering dirundung malang, daripada tempoh sangat lama untuk disiapkan hinggalah ketiadaan peluru berpandu.

Kita tidak boleh terlalu mengharap pada negara luar untuk bekalan senjata dan peluru kerana mungkin negara tersebut sedang berperang ataupun dipengaruhi negara lain yang memusuhi Malaysia.

Mampukah kita bertahan (dengan peluru buah tasbih) andai kata berlaku peperangan sedangkan dalam masa sama masih mengharap dan menunggu bekalan senjata serta peluru daripada negara luar?

Baru-baru ini terdapat laporan akhbar menyatakan tentang kerjasama antara tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk membangunkan teknologi pertahanan merangkumi sistem peluru berpandu dan balistik artileri, teknologi dron (taktikal, pengintipan dan pengangkutan), inovasi rekaan bom, sistem penyulitan dan penjejakan tentera, sistem autonomi udara (UAS), keselamatan siber, serta teknologi roket dan satelit. Hasrat ini amat dialu-alukan tetapi tidak perlu dihebahkan ke seluruh dunia.

Contohilah Iran dan Korea Utara dalam penyelidikan dan pembangunan senjata.

Sebelum peperangan antara AS dengan Iran, tidak ramai mengetahui tentang keupayaan dron dan peluru berpandu balistik Iran walaupun dikenakan sekatan ekonomi begitu lama.

Korea Utara pula kerap melakukan ujian senjata peluru berpandu balistik dan secara tiba-tiba mengumumkan memiliki senjata nuklear. Dengan unsur nadir bumi yang dimiliki, eloklah kita bina senjata, peluru dan peralatan ketenteraan sendiri secara senyap dengan kos rendah tanpa bergantung pada pihak luar.-UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

The post Bina senjata sendiri tanpa bergantung pada pihak luar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved